Satu Creative Hasanah Impact Challenge 2024: Memperkasa perusahaan sosial di Malaysia

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 28, 2024 08:30 MYT
Satu Creative Services Sdn Bhd dengan kerjasama Yayasan Hasanah melancarkan Satu Creative Hasanah Impact Challenge 2024 (SCHIC2024) bertujuan memperkasa perusahaan sosial peringkat awal di Malaysia.
KUALA LUMPUR: Satu Creative Services Sdn Bhd (Satu Creative) dengan kerjasama Yayasan Hasanah melancarkan Satu Creative Hasanah Impact Challenge 2024 (SCHIC2024) bertujuan memperkasa perusahaan sosial peringkat awal di negara ini.
Inisiatif bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) itu bermatlamat membangunkan penyelesaian yang mampan dan boleh diskalakan sekali gus menangani cabaran sosial dan alam sekitar.
Satu Creative dalam kenyataan media yang dikeluarkan memaklumkan, SCHIC2024 memberi tumpuan kepada empat tema utama: Alam Sekitar, Seni & Ruang Awam, Pendidikan, dan Pembangunan Komuniti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Satu Creative, Ahmad Azuar Zainuddin, dengan menumpukan kepada bidang-bidang tersebut, inisiatif itu disasar dapat mewujudkan transformasi sosial dan alam sekitar yang positif di seluruh negara.
“Kami percaya pada kuasa orang biasa untuk melakukan perkara luar biasa. SSCHIC2024 lebih daripada sekadar program, sebaliknya ia adalah satu gerakan.
“Gerakan untuk memperkasa perusahaan sosial, mengangkat komuniti dan yang paling penting adalah menangani cabaran.
"Apabila kita bersatu - usahawan, pemimpin dan pencetus perubahan - kita membuka potensi untuk mencipta masa depan di mana semua orang mempunyai peluang untuk berjaya," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru, pihaknya berbesar hati untuk bersama Yayasan Hasanah dan rakan kongsi lain dalam misi bersama untuk memacu kemajuan dan membina Malaysia yang lebih baik untuk semua.
Peserta dalam SCHIC2024 akan berpeluang untuk memohon geran perniagaan sehingga RM100,000, menimba ilmu bermanfaat daripada mentor berpengalaman dan pakar industri, serta mengkuh jaringan dengan usahawan sosial dan pelabur yang mempunyai matlamat sama.
Malah, katanya, sistem sokongan yang komprehensif ini direka untuk membantu perusahaan sosial mengatasi cabaran, mengembangkan usaha mereka, dan mencapai kemampanan jangka panjang.
Kerjasama antara Satu Creative, MDEC, dan TEGAS menekankan komitmen bersama untuk memacu inovasi dan impak sosial di Malaysia.
MDEC, sebagai agensi utama dalam memacu ekonomi digital, membawa kepakaran dalam transformasi digital, manakala TEGAS, yang terkenal dengan dedikasi untuk memupuk bakat dan keusahawanan di Sarawak, menambah nilai yang signifikan kepada inisiatif ini.
Kerjasama kukuh semua pihak ini bakal mewujudkan ekosistem kukuh yang memupuk pertumbuhan perusahaan sosial dan menyumbang kepada matlamat pembangunan digital dan mampan negara.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Satu Creative.
#Satu Creative #Yayasan Hasanah #Impact Challenge 2024 #SCHIC2024
;