Satelit MEASAT-3b dilancar beberapa minggu lagi

Bernama
April 15, 2014 08:31 MYT
MEASAT dijangka melancarkan satelit keenamnya, MEASAT-3b beberapa minggu lagi.
Menurut MEASAT, pelancaran satelit yang menggunakan Pelancar Ariane 5 itu akan meningkatkan kemampuan data sokongan dan perkhidmatan video di seluruh Malaysia, India, Indonesia dan Australia.
Setelah semua kerja berkaitan integrasi akhir selesai dilaksanakan dan diuji di kemudahan pertahanan dan angkasa Airbus di Toulouse, Perancis, MEASAT-3b diangkut melalui udara ke Kourou, French Guiana untuk dilancarkan.
Satelit keenam MEASAT, MEASAT-3b yang akan dilancarkan beberapa minggu lagi. --FotoBERNAMA
"Satelit ini akan dilancar ke slot orbit 91.5'E untuk berkolokasi dengan MEASAT-3 dan MEASAT-3a bagi membentuk wilayah satelit Terus ke Rumah (DTH) paling mantap di Asia," menurut kenyataan itu .
MEASAT adalah pembekal premium perkhidmatan komunikasi satelit kepada badan penyiaran antarabangsa terkemuka, platform DTH dan pengendali telekom.
Melalui penggunaan lima satelit komunikasi, MEASAT menyediakan perkhidmatan satelit kepada lebih 150 negara di Asia, Timur Tengah, Eropah dan Australia.
#Ariane 5 #MEASAT #MEASAT-3B