Satelit Azerbaijan akan dilancarkan awal Jumaat

Astro Awani
Februari 7, 2013 22:57 MYT
Satelit milik Republik Azerbaijan akan dilancarkan pada awal pagi Jumaat.
Satelit bernilai AS$300 juta (RM927 juta) itu dibangunkan hasil kerjasama Measat Satellite System Sendirian Berhad dengan syarikat Azercosmos milik Kementerian Komunikasi dan Teknologi republik berkenaan.
Satelit berkenaan akan berlegar di ruang orbit milik Measat manakala operasinya akan dikawal dari pusat kawalan di Baku, Azerbaijan.
Ia akan menyediakan perkhidmatan komunikasi ke Azerbaijan, Asia Tengah, Eropah dan Afrika.
Satelit Azerspace-1/Africasat-1a itu dijadual akan dilancarkan dari Pusat Angkasa Eropah di Kourou, French Guyana pukul 5.26 pagi waktu Malaysia.
Pelancaran tersebut akan disaksikan oleh Pengarah Measat, Tun Mohammed Haniff Omar dan Duta Besar Republik Azerbaijan ke Malaysia, Tahir Karimov dalam satu majlis di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil.
Astro Awani akan menyiarkan secara langsung pelancaran tersebut bermula pukul 5 pagi nanti.
#satelit; Measat; Azerbaijan
;