Sate ayam 40 sen di Jitra
Sinar Harian
Oktober 29, 2023 12:47 MYT
Oktober 29, 2023 12:47 MYT
JITRA: Ada peniaga sanggup menjual sate ayam pada harga semurah 40 sen secucuk di Jalan Kampung Padang di sini, ketika peniaga lain memilih untuk menjual dengan harga 80 sen hingga RM1 bagi menampung kos operasi.
Peniaga, Muhammad Khairul Fikri Abdu Kadirl, 30, berkata, dia menawarkan sate pada harga mampu milik di gerainya Sate Batas Ban yang dibuka sejak enam bulan lepas.
Dia yang mesra dengan gelaran Khairul memaklumkan, sate ayam yang siap dibakar dijual pada harga 40 sen secucuk, manakala sate daging pula dijual pada harga 70 sen secucuk.
"Saya mengambil pendekatan menjual sate pada harga murah kerana ingin beramal sambil berniaga demi memberi peluang kepada semua golongan terutamanya berpendapatan rendah menikmati sate.
"Walaupun sedikit namun keuntungan diperoleh sekurang-kurangnya memberi rezeki dan menampung perbelanjaan seharian saya," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Khairul memberitahu, dia menjual sate pada harga murah kerana enggan membebankan pelanggan memandangkan ada orang kurang berkemampuan dan mempunyai anak ramai.
"Sebelum ini, saya menjual sate ayam pada harga 30 sen secucuk di gerai lama di lokasi lain namun terpaksa menaikkan kepada 40 sen secucuk disebabkan kenaikan kos," katanya.
Tambahnya yang dibantu tiga pekerja, dia tidak menyangka jualan sate itu mendapat perhatian sehingga mampu menghasilkan 500 hingga 600 cucuk sehari.
"Alhamdulillah, saya bersyukur gerai sate dibuka bermula jam 4 petang hingga 9 malam hampir setiap hari mendapat sambutan masyarakat setempat," katanya.
Seorang lagi peniaga sate, Muhammad Zaidi Baharom, 42, dari gerai Port Sate Bakaq di lokasi berhampiran di Jalan Kampung Padang memaklumkan, dia juga menjual sate ayam pada harga 40 sen secucuk, manakala sate daging pula pada harga 70 sen secucuk.
Kata Muhammad Zaidi, dia turut menawarkan sate pada harga mampu milik untuk berkongsi rezeki dengan pelanggan, sekali gus meneruskan kelangsungan hidup.
"Alhamdulillah, sambutan baik hingga saya mampu menjual sehingga 1,000 cucuk sate ayam sehari," katanya yang dibantu empat pekerja
Menurutnya, sate daging pula mampu dijual sehingga 250 cucuk sehari, namun ia masih rendah berbanding kawasan lain.
"Sebelum ini, saya membuka sebuah kedai makan sebelum terpaksa menutup premis ketika pandemik COVID-19 lalu. Saya jual sate sejak tiga tahun lepas di lokasi lain," katanya.
Kata bapa kepada lima anak berusia antara tiga hingga 14 tahun itu, pelanggan boleh menempah sate dengan minimum 2,000 cucuk untuk majlis dan kenduri, selain mendapatkan di gerai sate tersebut. - Sinar Harian