Sasterawan Negara Shahnon Ahmad meninggal dunia

Afza Fahmidah
Disember 26, 2017 09:33 MYT
Sumbangan Allahyarham Shahnon Ahmad dalam dunia sastera Melayu sangat besar dan pemergian Allahyarham ibarat permata yang hilang.
Sasterawan Negara, Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad meninggal dunia di Hospital KPJ Kajang, kira-kira jam 8 pagi, Selasa.
Berita tersebut disahkan anak Allahyarham, Asrul Sani kepada Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Saifullizan Yahaya.
Jenazah akan disolatkan di Surau Madani Seksyen 3 Bandar Baru Bangi selepas solat Zuhur hari ini.
Disifatkan sebagai 'revolutioner', Allahyarham yang dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1982, sering mengetengahkan isu rakyat dalam karya-karya beliau.
Dari awal zaman penulisan beliau lagi, Allahyarham sudah menegakkan suara dan hak warga desa dan petani dalam novel berjudul 'Rentong' (1965) dan 'Ranjau Sepanjang Jalan' (1973).
Walaupun mempunyai nilai kasih yang tinggi terhadap isu golongan miskin, Allahyarham turut memberi penekanan terhadap isu agama.
Contohnya, pada 1977, beliau mengemukakan gagasan sastera Islam yang menegaskan bahawa sastera Islam perlulah berhikmah untuk manusia sejagat sebagai sebuah ibadah.
Karya-karya Allahyarham yang berkisar tentang agama juga mengkritik mereka yang menggunakan agama untuk memuaskan nafsu.
Selain itu, Allahyarham sangat peka tentang isu-isu politik. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Sik dari tahun 1999 ke 2004.
Melalui sastera, beliau menulis dengan penuh sinis tentang ahli-ahli politik pasca merdeka yang mengambil kesempatan atas jawatan mereka dan tidak memperjuangkan hak rakyat.
Sumbangan Allahyarham kepada dunia sastera Melayu bagaikan permata yang hilang.
Al-Fatihah.
#KPJ Kajang #meninggal dunia #Ranjau Sepanjang Jalan #Rentong #Sasterawan Negara #Shahnon Ahmad
;