Sasterawan Atondra meninggal dunia
Sinar Harian
Mac 30, 2021 04:03 MYT
Mac 30, 2021 04:03 MYT
SHAH ALAM: Dunia penulisan dan penerbitan negara menerima perkhabaran duka apabila kehilangan seorang pakarnya, Datuk Dr Mohd Nordin Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Atondra yang meninggal dunia pada Selasa.
Menurut rakan seperjuangan yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan, kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah pada enam tahun lalu ketika dijemput pada majlis Ziarah Karyawan di kediaman Antondra.
“Saya dijemput untuk menyampaikan ucapan selaku Ketua Pengarah DBP. Ketika itu antara individu yang turut hadir ialah Tan Sri Johan Jaaffar dan Yassin Salleh.
“Ketika itu kesihatan Allahyarham tidak begitu baik tetapi masih gagah dan bersemangat dalam perjuangannya,” katanya pada Selasa.
Beliau berkata, berita mengenai kematiannya disampaikan oleh kenalannya.
“Saya difahamkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.55 petang Selasa di Kelana Jaya,” katanya.
Antondra merupakan antara individu yang terlibat dalam pembentukan Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor (Kemudi) pada 14 Disember 1971 bersama Datuk Abdul Samad Maharudin.
Berita asal: Sasterawan Atondra meninggal dunia
#Atondra
#meninggal dunia
#Mohd Nordin Abdul Rahman
#Awang Sariyan
#Johan Jaaffar
#Yassin Salleh
#Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor
#KEMUDI
#Abdul Samad Maharudin
#sasterawan