Sasaran 92 peratus peluasan liputan internet 4G di Sarawak realistik - Annuar
Bernama
Disember 12, 2021 11:39 MYT
Disember 12, 2021 11:39 MYT
KUCHING: Sasaran 92 peratus peluasan liputan internet 4G di Sarawak menjelang penggal ketiga tahun hadapan adalah realistik dan mampu dicapai, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau menegaskan perkara itu bukanlah sekadar cakap kosong untuk 'pancing undi' semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) sedang berlangsung, kerana menurutnya usaha ke arah menambah baik infrastruktur berkenaan di Bumi Kenyalang sudah bermula sejak sebelum tarikh PRN diumumkan lagi.
Katanya sasaran itu diputuskan berdasarkan kemajuan pelaksanaan projek berkenaan yang telah dijalankan sebelum ini.
"Tahun 2020 keadaan bekalan 4G di Sarawak hanya pada tahap 72 peratus. Selepas kita laksanakan Jendela pada tahun lepas (iaitu awal 2020), pada akhir 2020... selepas suku ketiga tahun lalu angkanya naik kepada 83 peratus.
"Ini bermakna dalam masa setahun, 10 peratus kemajuan dicapai dan akhir tahun depan dari 83 peratus, kita yakin dapat capai 92 ke 93 peratus," katanya pada sidang media selepas singgah di Pusat Operasi PRN12 Sarawak Bernama, di sini hari ini.
Sehari sebelum Hari Penamaan PRN12 pada 6 Dis, Annuar ketika lawatannya ke Kuching berkata capaian liputan Internet 4G di seluruh Sarawak akan meningkat ke tahap 92 peratus menjelang 2022, capaian hampir sama dengan semua negeri lain apabila kerajaan mempercepat proses menaik taraf prasarana dan infrastruktur jalur lebar dengan perbelanjaan mencecah RM4.09 bilion.
Ucapannya itu bagaimanapun mendapat perhatian Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa ia bertujuan "memancing undi" dan khuatir ia hanya akan menjadi satu janji kosong sahaja.
Dalam hal ini, Annuar memberi jaminan bahawa pembangunan di Sarawak tidak berorentasikan pilihan raya dan berharap apa diusahakan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kepada Bumi Kenyalang tidak sewenang-wenangnya dipolitikkan.
"Saya dah lama memerhatikan cara perjalanan pentadbiran Sarawak. Kerajaan negeri ini mempunyai perancangan yang cukup sistematik, ada pilihan raya tak ada pilihan raya... Sarawak ini bertuah kerana memiliki kepimpinan yang baik, visi yang jelas mengenai apa nak dibuat jangka pendek, apa nak dibuat jangka panjang.
"Kalau orang yang tak pernah datang Sarawak, dia merasakan Sarawak ini kononnya kurang pembangunan, tetapi bila dia datang, dia akan lihat sungai-sungai di Sarawak dibangunkan dengan baik, bandar-bandar Sarawak dibangunkan dengan baik, lapangan terbang di Sarawak dibangunkan dengan baik, luar bandar di Sarawak hatta di rumah panjang pun ada kemudahan Internet dan sebagainya," katanya.
Annuar yakin rakyat Sarawak sendiri menghargai apa dilaksanakan kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yakin mereka tidak akan mudah terjejas dengan sentimen peringkat nasional.
"(Rakyat) Sarawak akan dapat memahami keadaan negeri Sarawak," katanya.
-- BERNAMA