Sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik perlukan penglibatan PBT - Tengku Zafrul

Mohd Zalani Md Atan
Februari 15, 2023 14:28 MYT
Tengku Zafrul (kiri) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes Benz Malaysia Sagree Sardien di Kilang Pengeluaran Mercedes di Pekan hari ini. - Foto BERNAMA
PEKAN: Bagi mencapai sasaran sebanyak 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menjelang 2025, kerajaan turut memerlukan penglibatan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Untuk itu menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, kerajaan sedang merangka pekeliling bagi memudahkan proses kelulusan stesen pengecasan di peringkat PBT.
Selain itu MITI juga telah mencadangkan pakej insentif tambahan yang menarik untuk menggalakkan pembangunan ekosistem EV untuk Belanjawan 2023.
"Bukan sahaja dari segi automotive involvement, local council PBT juga penting dan salah satu contohnya ialah sasaran 10,000 EV charger sebelum tahun 2025.
"Contohnya kita perlu bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang memasang charger bersama dengan PBT, kementerian KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) dan sebagainya. Kalau tidak, dia kereta ni ada tetapi charger tak ada it won't complete the whole EV eco-system," katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian selepas melancarkan kenderaan elektrik model EQS Mercedes di kilang pengeluaran Mercedes-Benz di Pekan, Pahang pada Rabu.
Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan model kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama dipasang di dalam negara (CKD), di kilang pengeluarannya di Pekan, Pahang.
Sedan EV mewah ini mampu memberi perjalanan sehingga 696 kilometer menurut standard ujian WLTP, dan ditawarkan pada harga atas jalan RM648,888 tidak termasuk insurans.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman, Pengerusi DRB-HICOM Bhd, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Malaysia, Sagree Sardien.
#pengecas kenderaan elektrik #EV #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Belanjawan 2023
;