Sasaran 1,000 veteran, pesara ATM sertai program RPEL
Bernama
Februari 2, 2017 17:39 MYT
Februari 2, 2017 17:39 MYT
Sejumlah 1,000 veteran dan bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada kelompok B40 disasar menyertai program Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (RPEL) pada tahun pertama pelaksanaannya.
Program di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu antara lain bertujuan membantu mereka memiliki kemahiran tertentu untuk mendapatkan pekerjaan dengan pendapatan lebih tinggi selepas bersara.
Program RPEL yang dilaksanakan secara bersama antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Sumber Manusia itu dilancarkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini hari ini.
"Setakat ini 150 veteran ATM yang layak telah mendaftar untuk menyertai program itu," katanya kepada pemberita.
Mereka yang mendaftar perlu mengikuti latihan bersesuaian dengan kemahiran yang dimiliki sebelum layak menerima sijil pengiktirafan.
Sejumlah 10 bidang latihan disediakan termasuk automatif, pembuatan pakaian wanita, elektrik, bangunan dan pembinaan, kimpalan, sistem komputer dan rangkaian serta pembuatan dan penyediaan makanan, bakeri dan pastri.
Majlis pelancaran itu juga menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan program itu antara Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) dan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot.