Sasar RM2 juta bagi Tabung Kecemasan Mangsa Tragedi di New Zealand #Sinar4NZ49Martyrs

Astro Awani
Mac 17, 2019 05:17 MYT
Kutipan yang dilancarkan itu diharap menjadi simbol bahawa umat Islam adalah umat yang bersifat pemurah, pemaaf dan untuk sebarkan kasih sayang.
Sinar Harian melancarkan Tabung Kecemasan Mangsa Tragedi di New Zealand untuk meringankan beban ahli keluarga yang terlibat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf, Datuk Husammudin Yaacob, kutipan tabung kecemasan ini dimulakan untuk membantu rakyat tempatan terutamanya yang terlibat dalam tragedi berdarah akibat serangan pengganas di New Zealand.
“Tujuan kutipan tabung kecemasan ini juga untuk membantu membaik pulih dua masjid di New Zealand, Al Noor dan Masjid Linwood.
“Kami turut menyasarkan kutipan berjumlah lebih RM2 juta untuk tabung ini dan setakat Sabtu malam selepas dilancarkan, sudah berjaya catat kutipan lebih RM1,000.
“Kami tidak merasakan perkara itu mustahil kerana semasa kami lancarkan tabung buat Rohingya, kutipan berjumlah tersebut berjaya dilakukan dalam masa kurang tiga minggu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
Pada masa sama, Husammudin berharap kutipan yang dilancarkan itu sebagai simbol bahawa umat Islam adalah umat yang bersifat pemurah, pemaaf dan untuk sebarkan kasih sayang.
Sumbangan boleh dibuat seperti yang tertera;
#Datuk Husammudin Yaacob #kecemasan #Ketua Pegawai Eksekutif Karangkraf #New Zealand #Sinar Harina #tabung