Sasar 50,000 usahawan sertai Platform Selangor pada 2025 - MB Selangor
Hasimi Muhamad
Julai 12, 2024 07:30 MYT
Julai 12, 2024 07:30 MYT
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menyasarkan 50,000 usahawan menyertai program Platform Selangor (PLATS) di bawah kelolaan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) pada 2025.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lebih 37,000 peniaga telah berdaftar dengan PLATS setakat 31 Jun lalu sejak ia diperkenalkan pada 2020.
Jelas beliau, kerajaan negeri turut memperuntukan RM5 juta pada tahun ini bagi membantu para usahawan yang terlibat.
“Menjelang 2024, kita jangkakan seramai 40,000 usahawan mikro, kecil dan sederhana ini dapat menyertai program PLATS. Ia bermula dengan satu platform untuk membenarkan mereka berniaga dan platform ini lebih kepada mempromosikan produk-produk, restoran dan kemudahan-kemudahan (yang ditawarkan).
“Kita juga sediakan geran digitalisasi kepada beberapa peniaga terpilih yang kita rasakan sudah bersedia untuk berubah kepada platform dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2024 bagi meraikan usahawan PLATS anjuran MBI Selangor, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Saipolyazan M Yusop.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata, kerajaan negeri menerusi agensi negeri dan MBI bersedia menawarkan khidmat dan nasihat serta akses kepada pengetahuan dan teknologi digital bagi manfaat para usahawan.
Katanya, usaha itu sebahagian daripada kerangka besar dan hasrat utama ke arah mencapai misi Selangor sebagai Negeri Pintar Unggul di Asia Tenggara.
Sementara itu, dalam majlis sama, seramai 12 individu dipilih sebagai peserta terbaik berdasarkan pencapaian mereka sepanjang menjalani program latihan usahawan PLATS mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beberapa anugerah turut disampaikan antaranya Anugerah Usahawan Mikro Komuniti, Anugerah Usahawan Mikro Inovasi, serta Anugerah Usahawan Mikro Negeri Selangor.
PLATS ialah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan oleh Kerajaan Selangor untuk membantu peniaga mikro mendigitalkan perniagaan mereka dan mengatasi cabaran ekonomi disebabkan oleh pandemik COVID-19.