Sasar 3.2 juta pengunjung ke muzium

Madiha Abdullah
Januari 29, 2020 21:00 MYT
Usaha masih perlu dilakukan untuk terus mempromosikan peranan muzium, kata Noor Zari. - Bernama
Tahun 2020 bakal menyaksikan 130 pameran berlangsung di 22 muzium di bawah kendalian Jabatan Muzium Malaysia di seluruh negara, dengan sasaran 3.2 juta pengunjung.
Ia dilihat tidak mustahil memandangkan lebih 2.7 juta pengunjung berjaya dicatatkan sepanjang tahun lalu, peningkatan kira-kira 14 peratus berbanding tahun 2018.
Hal itu membuktikan apresiasi masyarakat terhadap institusi konservasi seni dan budaya seperti muzium semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Di pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), usaha masih perlu dilakukan untuk terus mempromosikan peranan muzium, khususnya bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.
"Kerana itulah, muzium perlu lebih berinovasi dan kreatif, supaya lebih banyak produk dapat dihasilkan melalui kreativiti itu.
"Kami di kementerian memang mempunyai sasaran untuk kemampanan industri pelancongan, sebab itu pentingnya untuk kita memperbanyakkan produk.
“Saya optimis dan yakin jumlah pengunjung akan terus meningkat pada tahun dengan pelbagai program dan pameran yang mampu menarik kehadiran pengunjung dalam dan luar negara," kata Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Dr Noor Zari Hamat.
Noor Zari ditemui selepas majlis perasmian Pameran Negara Kota Yang Hilang, Pameran Pesona Malaysia dan pelancaran kalendar acara 2020 Jabatan Muzium Malaysia, pada Rabu.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Mohd Zamri Mat Zain dan Ketua Pengarah JMM Datuk Kamarul Baharin A Kassim.
Pameran Negara Kota Yang Hilang bermula 4 Disember lalu hingga 30 April 2020 manakala Pameran Pesona Malaysia bermula 25 Disember lalu hingga 23 Mei 2020.
#Jabatan Muzium Malaysia #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #MOTAC #muzium #Noor Zari Hamat #pelancongan
;