Sasar 10 peratus kaum lain sertai ATM

Bernama
Disember 16, 2017 20:00 MYT
Raja Mohamed Affandi menyampaikan pedang kepada Penuntut Keseluruhan Terbaik Pegawai Kadet Kolej Tentera Udara, PRK Muhamad Syazwan Ahmad pada majlis di Kem Segenting, Port Dickson, 16 Dis, 2017. --fotoBERNAMA
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menetapkan sasaran 10 peratus pengambilan anggota dalam kalangan pelbagai kaum untuk menyertai pasukan keselamatan itu setiap tahun.
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata bukan itu sahaja, ATM juga mahu penyertaan daripada pelbagai kaum seperti Cina, India serta lain-lain kaum untuk menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD).
Beliau berkata sasaran tersebut merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ATM dan ia diyakini dapat dicapai dengan sokongan pelbagai pihak berkaitan.
"Penglibatan kaum lain dalam ATM ialah sebagai satu tanggungjawab mempertahankan tanah air serta kedaulatan negara yang patut dipikul secara bersama.
"Jadi kita mahu cari 10 peratus anak muda daripada pelbagai kaum bukan sahaja untuk menjadi anggota tentera, malah kita juga ingin melihat pelbagai kaum datang menuntut di MTD," katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Graduan ATM 2017 di Kem Segenting, Port Dickson di sini, pada Sabtu.
Turut hadir Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim; Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata seramai 201 pegawai kadet daripada ketiga-tiga cabang ATM berjaya menamatkan latihan asas selama sembilan bulan yang bermula Mac lalu.
Terdahulu dalam ucapannya, Raja Mohamed Affandi mengingatkan semua warga ATM sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme agar terus dipandang tinggi dan mendapat kepercayaan masyarakat.
"Kesemua kolej latihan dalam perkhidmatan ATM diharapkan dapat melengkapkan pegawai dan anggota supaya mereka dapat menjadi generasi yang profesional dan berwibawa.
"ATM tidak boleh hanya sekadar bergantung dengan aset semata-mata, sebaliknya kekuatan anggota sangat penting dan perlu diselarikan dengan kehebatan aset yang ada," katanya.
Beliau berkata dengan lahirnya anggota serta pegawai tentera yang berani dan berkredibiliti dapat mengukuhkan kepercayaan negara kepada ATM dalam menghadapi sebarang ancaman dan cabaran yang mendatang.
-- BERNAMA
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #Cina #India #Melayu #Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor #tentera