SAS 2024 dorong wanita ceburi bidang penerbangan
Farhan Hakimi
September 13, 2024 15:27 MYT
September 13, 2024 15:27 MYT
KUALA LUMPUR: 'The Women in Aviation Award', yang diadakan buat pertama kalinya bersama Selangor Aviation Show, membuatkan Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 unik dan istimewa.
Menurut Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, ia bertujuan memberi galakan kepada golongan wanita untuk menceburi bidang penerbangan.
"Inisiatif ini bertujuan menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam bidang tersebut.
"Setakat ini, hanya 20 peratus wanita di negara ini terlibat dalam bidang penerbangan dan ia tidak mencukupi.
"Jadi kita ingin mengiktiraf wanita-wanita yang telah berkhidmat dalam industri penerbangan," ujarnya ketika ditemui di pameran udara berkenaan di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Bukit Jelutong pada Jumaat.
Tambahnya, SAS 2025 mungkin memerlukan kawasan yang lebih luas bagi menampung lebih ramai pengunjung, memandangkan sambutan yang sangat baik pada SAS 2024.
Walau bagaimanapun, keputusan akhir mengenai hala tuju SAS 2025 akan dibuat selepas melihat sambutan pada Jumaat dan Sabtu.
SAS 2024 juga menyaksikan edisi kedua pameran kerjaya yang menghubungkan pencari kerja dengan lebih daripada 38 syarikat penerbangan dan aeroangkasa seperti National Aerospace & Defence Industries Sdn Bhd, UMW Aerospace, Bombardier, dan Skyways Technics Asia.
Kerjasama dengan PERKESO turut dijalin untuk merapatkan jurang antara bakat tempatan dengan keperluan industri yang semakin berkembang pesat ini.
Pameran udara anjuran Invest Selangor Berhad itu dengan sokongan kerajaan negeri Selangor, dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis.
Bertemakan ‘The One & Only Business & General Aviation Show in the Region’, lebih 25,000 pelawat dari 45 negara dijangka hadir pada SAS 2024.
50 jenis pesawat dipamerkan termasuk model ikonik seperti pesawat Diamond, Falcon 8X, dan Piaggio Avanti.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai SAS 2024, pengunjung boleh mengikuti akaun media sosial rasmi @selangoraviationshow di Facebook, Instagram, LinkedIn, dan X.