Sarjana Islam Eropah mahu Malaysia rangka strategi tangani Islamofobia - PM Anwar
Bernama
Mac 15, 2024 12:30 MYT
Mac 15, 2024 12:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pemikir dan sarjana Islam Eropah mengusulkan Malaysia mengambil inisiatif merangka strategi berkesan dalam menentang kemaraan Islamofobia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan ketika pertemuan beliau bersama rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah di Berlin, Jerman semalam.
Antara yang terlibat adalah International Institute of Islamic Thought (IIIT), Arab World Institute dan Middle East and Mediterranean Research Centre (CERMOM).
"Kelapangan waktu yang ada di Berlin saya gunakan untuk berdiskusi dan bertukar pandangan bersama rakan-rakan pemikir dan sarjana Islam Eropah.
"Kami menyentuh beberapa perkara, antaranya peranan sarjana dan cabaran baharu dengan semaraknya Islamofobia di Eropah saat ini," katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata pada pertemuan itu mereka turut membincangkan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani permasalahan tersebut terutamanya di barat.
"Insya-Allah, saya bersama rakan-rakan akan terus menjadi penggerak utama bagi membasmi isu Islamofobia," katanya.
Anwar kini dalam lawatan rasmi enam hari ke Jerman bermula 11 Mac lepas.
-- BERNAMA