Sarjana dari penjara
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 19, 2017 21:13 MYT
Januari 19, 2017 21:13 MYT
Tiada apa yang dapat menggambarkan debaran di dada penulis sewaktu melangkah masuk ke Penjara Kajang di Selangor baru-baru ini.
Kunjungan wartawan penyiaran dan penerbit ke 'rumah besi' yang menempatkan lebih 3,000 banduan itu bertujuan untuk bertemu dengan beberapa penghuni di situ.
Meremang bulu roma penulis ketika sampai ke pintu penjara dengan kru Astro AWANI.
Disambut mesra warden penjara, kami dibawa ke sel yang menempatkan banduan yang sedang menjalani hukuman membunuh.
Pertemuan empat mata antara wartawan penyiaran dan banduan yang hanya mahu dikenali dengan nama 'Abdul Halim', 30, berjalan lancar.
Menurut anak kelahiran Sabah yang di bawah tahanan limpah Sultan itu mengakui kehidupan di belakang tirai besi tidak pernah melunturkan semangatnya untuk memegang segulung ijazah.
Ketika ditahan 16 tahun lalu, Abdul Halim seorang yang buta huruf. Setahun selepas dipenjarakan, beliau berdikit-dikit menimba ilmu.
Berbekalkan semangat untuk bergelar manusia berilmu, Abdul Halim berjaya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2005.
Sejak itu, Abdul Halim meneruskan cita-citanya dengan menduduki beberapa peperiksaan termasuk Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Ijazah Sarjana Muda.
Abdul Halim merupakan salah seorang dari 4 banduan yang berjaya merangkul ijazah sarjana di Penjara Kajang. Seramai 14 berstatus pemegang ijazah dan 20 yang lain diperingkat diploma.
Tranformasi yang belaku di Jabatan Penjara Malaysia telah menyaksikan perubahan pada landskap pendidikan di kalangan banduan di negara ini.
Malah jalinan kerjasama antara jabatan penjara dan pihak Universiti Terbuka Malaysia (OUM) telah melahirkan sejumlah banduan yang berjaya melanjutkan pengajian mereka di peringkat diploma,ijazah dan sarjana sekalipun ketika mereka masih menjalani hukuman di penjara.
Sejarah pendidikan tinggi di kalangan banduan bermula pada 2009 apabila ibu kepada salah seorang daripada banduan di penjara kajang telah menulis surat kepada pihak OUM yang mahukan ruang pendidikan tinggi di buka kepada mereka.
Lebih mengejutkan ada sebahagian daripada mereka yang buta huruf ketika memasuki penjara namun mampu mendaki sehingga ke peringkat sarjana selepas menjalani program pembelajaran yang digarap oleh pihak penjara.
Ada pula sebahagianya berjaya ke peringkat tersebut termasuklah mereka yang disabitkan dengan kes jenayah berat seperti membunuh.
Namun sistem pendidikan tanpa sempadan yang jauh daripada diskriminasi pembelajaran di kalangan banduan telah melahirkan cerdik pandai warga penjara.
Ia sesuatu yang sukar dipercayai kerana menuntut ilmu dalam keadaan menjalani hukuman dengan persekitaran penjara adalah sangat mencabar .
Malah kesungguhan mereka berbaloi apabila menarik minat beberapa kalangan badan bukan kerajaan NGO untuk menghulurkan bantuan berbentuk biasiswa dan bahan rujukan yang diperlukan oleh mereka.
Lebih menarik apabila jabatan penjara tidak mengenakan syarat kepada banduan untuk mengenakan pakaian penjara dan gari ketika mereka menghadiri majlis konvokesyen.
Hanya orang tertentu sahaja yang akan mengetahui kehadiran mereka pada majlis tersebut bagi mengelakkan mereka terpalit aib.