Sarjan sakit jantung, konstabel mengaku tidak bersalah seludup 27 warga India

Abd Hadi Che Awang
November 19, 2020 17:06 MYT
Mereka membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azman Abu Hassan. -Gambar Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Dua anggota polis berpangkat sarjan dan konstabel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini, atas pertuduhan menyeludup 27 warga India di Baling, pada Mei tahun lalu.
Mohd Fazlan Abdullah, 57, dan Mohammad Faiz Idris, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Berdasarkan pertuduhan, kedua-kedua mereka yang bertugas di Balai Polis Pengkalan Hulu dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, menyeludup 27 warga India di Kampung Haji Abas, Baling, Kedah kira-kira jam 12.15 pagi pada 23 Mei 2019.
Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Fazril Sani Mohamad Fadzil dan Siti Ruvinna Mohd Rawi, manakala Mohd Fazlan Abdullah diwakili peguam Jesvinderjit Singh sementara Mohammad Faiz (peguam Mohd Hafiz Jalaluddin dan Mohd Alif Affandi Zulkifli).
Terdahulu, Jesvinderjit memohon mahkamah membenarkan Mohd Fazlan diikat jamin kerana menghidap penyakit jantung, namun mahkamah tidak membuat sebarang keputusan kerana pertuduhan itu akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
#seludup #polis seludup warga india #konstabel #sarjan #Mohammad Faiz Idris #Mohd Fazlan Abdullah #Mahkamah Sesyen #Sungai Petani
;