Sarjan Norihan yang ditembak penyeludup sudah boleh bernafas tanpa alat bantuan
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 1, 2020 20:10 MYT
Disember 1, 2020 20:10 MYT
GEORGE TOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari yang selamat menjalani pembedahan membuang dua butir peluru di tubuhnya, baru-baru ini, sudah mampu bernafas tanpa bantuan mesin sokongan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, tahap kesihatan anggota berkenaan menunjukkan perkembangan yang sangat baik berbanding sebelum ini.
Sahabudin berkata, menurut pihak hospital, setakat hari ini Norihan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan.
"Beliau juga sudah boleh minum dan makan makanan bertekstur lembut.
"Selain itu, beliau juga sudah boleh berjalan dengan bantuan "walker frame"," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Norihan yang sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) telah dipindahkan ke wad biasa namun masih di bawah pemantauan serta pemerhatian doktor pakar.
Berhubung satu lagi peluru di tubuhnya, pakar yang merawat Norihan memaklumkan penilaian lanjut masih dibuat bagi menentukan sama ada peluru berkenaan perlu dibuang atau sebaliknya.
Ia berikutan kedudukan peluru itu terlalu dekat dengan tulang belakangnya serta berkemungkinan memberi kesan buruk jika ia cuba dikeluarkan.
Rabu lalu, Norihan dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru dari tubuhnya.
Dalam kejadian awal pagi Selasa minggu lepas, Norihan parah manakala rakannya Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkorban apabila ditembak kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar.
#sarjan norihan
#PGA
#ditembak
#sempadan
#malaysia-thailand
#Pembedahan
#alat bantuan pernafasan
#berjalan
#semakin baik
#kesihatan