Sarjan Norihan Tari mula jalani rawatan fisioterapi
Adie Sufian Zulkefli
November 30, 2020 17:03 MYT
November 30, 2020 17:03 MYT
PADANG BESAR: Keadaan kesihatan Sarjan Norihan Tari yang parah ditembak kumpulan penyeludup ketika bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, semakin menunjukkan perkembangan positif, malah mula menjalani rawatan fisioterapi.
Anggota Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) itu kini sudah boleh duduk bersandar, minum dan makan bercakap dengan lebih baik berbanding sebelumnya.
Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintendan Rosman Kasman, berkata berita positif itu dimaklumkan isteri Norihan menerusi perbualan telefon hari ini.
"Dia sudah sedar tapi masih dalam keadaan lemah. Dia kini sudah mula jalani fisioterapi pada tangan dia. Mungkin kesan daripada tembakan peluru itu yang terkena saraf yang menyebabkan tubuhnya lemah.
"Suhu tubuhnya bagaimanapun kadang-kadang tidak menentu, tapi kita tidak begitu bimbang kerana dia berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan," katanya di sini, hari ini.
Rosman berkata, pakar yang merawat Norihan memaklumkan keadaannya semakin baik dan berharap pembedahan untuk membuang satu lagi peluru dapat dilakukan.
Ini ekoran kedudukan peluru itu terlalu dekat dengan tulang belakangnya serta kemungkinan memberi kesan jika ia cuba dibuang.
Norihan sebelum ini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani pembedahan mengeluarkan dua daripada tiga peluru yang terkena tubuhnya.
Rabu lalu, Norihan dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP untuk menjalani pembedahan berkenaan.
Dalam kejadian awal pagi Selasa lalu, rakannya Sarjan Baharuddin Ramli, 54, yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand maut akibat ditembak penyeludup, manakala Norihan mengalami kecederaan parah.
#PGA
#sarjan norihan
#ditembak
#Pembedahan
#rawatan
#mengeluarkan peluru
#jalani fisioterapi
#Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA
#Superintendan Rosman Kasman