Sarjan Norihan ingat kejadian tembakan - Ketua Polis P. Pinang
Dewi Nur Harasha Alias
November 28, 2020 23:38 MYT
November 28, 2020 23:38 MYT
GEORGE TOWN: Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarjan Norihan Tari menunjukkan perkembangan lebih baik berbanding semalam dan lebih banyak bercakap hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, Norihan sudah boleh bercerita mengenai keluarga, kerjanya dan beberapa perkara lain.
Beliau berkata, Norihan sangat bersemangat dan mengingati semua perkara termasuk kejadian yang menimpa rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli.
"Hari ini respon dia sangat bagus, bercakap, berbual dan tersenyum. Dia bercakap dengan Datuk Yahaya (Othman), kebetulan dia orang Pahang, mereka bercakap berkenaan keluarga, kerja dan beberapa perkara lain.
"Datuk Yahaya ada bawa warkah daripada Tuanku Agong, dah diserahkan kepada Sarjan Norihan dan ikut kata doktor juga dia menunjukkan perkembangan sangat baik dan dia sangat kuat, semangat dia kuat... dia boleh mengingati apa yang berlaku," katanya selepas meluangkan masa menziarahi Norihan bersama Datuk Yahaya Othman yang merupakan Juruiring Polis kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Mengulas mengenai baki sebutir peluru yang masih berada di dalam tubuh Norihan, Sahabudin berkata, doktor sedang membuat penilaian mengenainya.
Katanya, berdasarkan maklumat daripada doktor yang merawatnya, pasukan perubatan termasuk pakar sedang membuat penilaian berhubung sebutir lagi peluru berdekatan dengan tulang belakang yang masih belum dikeluarkan.
Kedatangan mereka disambut isteri Norihan, Fardilla Adam, 35 yang sentiasa menemaninya sepanjang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang.
Rabu lalu, Norihan dipindahkan dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar ke HPP untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru iaitu satu di tulang belakang dan dua di perut.
Dalam kejadian awal pagi Selasa lalu, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand maut dipercayai akibat ditembak.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mangsa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama Norihan yang mengalami kecederaan parah.
#Anggota Pasukan Gerakan Am
#anggota PGA
#Sarjan Norihan Tari
#Sahabudin Abd Manan
#Ketua Polis Pulau Pinang
#Yahaya Othman
#Fardilla Adam
#Hospital Pulau Pinang
#Sarjan Baharuddin Ramli