Sarjan Norihan dijangka keluar hospital dalam masa terdekat

Adie Sufian Zulkefli
Disember 4, 2020 18:10 MYT
Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Sarjan Norihan Tari, 39, dijangka akan dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam tempoh terdekat. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak, Sarjan Norihan Tari, 39, dijangka akan dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam masa terdekat.
Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, Superintendan Rosman Kasman, Norihan kini sudah boleh bercakap, makan dan minum serta berjalan.
Malah, lebih melegakan, Norihan sudah tidak bergantung kepada alat bantuan pernafasan selepas tiub dari abdomennya sudah dikeluarkan.
“Dia boleh bercakap macam biasa, sudah sihat dan dia juga sudah boleh berjalan sendiri tanpa bantuan.
“Termasuk boleh makan semula seperti biasa, tetapi hanya makanan yang lembut seperti bubur atau buah-buahan.
“Malah sewaktu ingin membuang air besar, dia boleh pergi sendiri dan tidak lagi memerlukan bantuan.
“Doktor juga telah mencabut tiub-tiub yang berada pada abdomen dan dia kini dilihat dapat bernafas dengan biasa tanpa memerlukan alat bantuan pernafasan,” ujarnya.
Sementara itu, Rosman menambah bahawa Norihan tidak mengalami sebarang penyakit demam, malah ujian saringan COVID-19 menunjukkannya negatif daripada wabak tersebut.
“Insya-Allah dalam masa keadaan dia yang sihat untuk mengeluarkan peluru yang berada di dalamnya. Bagaimanapun, setakat ini lawatan masih belum dibenarkan.
“Isteri Norihan akan pulang ke Kem Batalion 3 PGA hari ini untuk menguruskan tempat tinggalnya di rumah,” tambah Rosman lagi.
BACA: Sarjan Norihan dipindahkan ke wad biasa, kesihatan bertambah baik
BACA: Sarjan Norihan ingat kejadian tembakan - Ketua Polis P. Pinang
Sebelum ini, beliau berkata pakar yang merawat Norihan memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas pembedahan mengeluarkan dua butir peluru ditubuhnya berjaya.
Susulan pembedahan itu, Norihan dipindahkan ke wad biasa namun masih di bawah pemantauan serta pemerhatian pakar.
Dalam kejadian jam 3.10 pagi 24 November lalu, Sarjan Norihan Tari dan rakannya, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, berbalas tembakan ketika bertempur dengan penyeludup sewaktu melakukan rondaan Ops Benteng berhampiran Pos TS9 Padang Besar, Perlis.
Bagaimanapun Baharuddin terkorban dalam insiden itu selepas ditembak di bahagian perut manakala Norihan yang turut terkena tembakan sempat berlari sejauh 1.5 kilometer (km) untuk mendapatkan bantuan di pos TS9 sebelum dia dihantar ke hospital.
BACA: Sarjan Norihan Tari mula jalani rawatan fisioterapi
BACA: Sarjan Norihan terima Watikah Wira Negara daripada Yang di-Pertuan Agong
#Sarjan Norihan Tari #tembakan #polis #PGA #Pasukan Gerakan Am #Hospital #bantuan alat pernafasan #ujian saringan #COVID-19
;