Sarjan dituduh terima suapan RM2,000

Astro Awani
Mac 10, 2021 05:47 MYT
Tertuduh yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan pada 18 dan 19 September 2020.
KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas dua pertuduhan berasingan menerima suapan berjumlah RM2,000, September lalu.
Tertuduh, Mohd Ridhuan Kasah, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Mohd Ridhuan yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah didakwa melakukan kesalahan itu di dua lokasi berasingan pada 18 September dan 19 September 2020.
Bagi tuduhan pertama, pada 18 September 2020 pukul 5 petang, tertuduh secara rasuah memperoleh RM1,000 daripada Syed Mohd Firdaus Syed Hussin melalui serahan tangan di bilik pegawai penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah IPD Pekan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pengadu.
Manakala tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memperoleh RM1,000 juga melalui serahan tangan daripada orang yang sama untuk tujuan yang sama pada 19 September 2020 di Pekan Station 2, di bandar Pekan, kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Pendakwaan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama dilakukan pegawai pendakwa SPRM, Kamariah Seman.
Tertuduh diwakili peguam, Mohd Saifuldin Ab Rahman.
Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 untuk kedua-dua tuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di IPD Pekan setiap hujung bulan, bermula April depan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 31 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
#sarjan polis #suapan #RM2000 #ibu pejabat polis daerah #Pekan #Mahkamah Sesyen Kuantan #Mohd Ridhuan Kasah #Jabatan Siasatan Jenayah