Sarjan disyaki rogol pelajar dibebaskan dengan jaminan polis

Abd Razak Mohd Ali
Februari 5, 2024 12:55 MYT
Mohd Yusri berkata kertas siasatan kes terbabit sudah dilengkapkan dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rabu lalu. - Foto fail/Sinar Harian
MANJUNG: Sarjan polis yang sebelum ini ditahan reman kerana disyaki merogol pelajar berusia 16 tahun telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata kertas siasatan kes terbabit sudah dilengkapkan dan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rabu lalu.
"Sekarang kita tunggu arahan daripada TPR sama ada teruskan dengan tuduhan atau perlu siasatan lanjut lagi," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baru Cina 2024 di Plaza Tol Lekir Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE), di sini hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun mendakwa dirogol oleh sarjan polis berusia 42 tahun sebanyak dua kali di dalam kereta, masing-masing di hadapan balai polis dan di kawasan parkir pasaraya dalam daerah Perak Tengah, pada Julai dan Oktober tahun lalu.
Perbuatan suspek terbongkar selepas mangsa memberitahu ibunya, baru-baru ini.
Susulan itu, pihak polis menahan suspek pada 28 Januari lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan direman tiga hari.
Pada 2 Februari lalu, suspek direman sekali lagi bagi membantu siasatan kes rogol mangsa yang lain.
Mohd Yusri berkata, Polis Perak telah merujuk kes berkenaan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk mengambil alih siasatan.
"Memang kita lihat baru-baru ini, berlaku ketidak patuh integriti dalam kalangan pasukan polis.
"Saya jamin kes berkenaan disiasat secara telus dan adil. Tambahan lagi, kes ini telah diambi alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman untuk tindakan lanjut," ujarnya.
#anggota polis #rogol #pelajar #jaminan polis
;