Sarjan didakwa minta rasuah gelang emas
Sinar Harian
Mac 19, 2025 11:15 MYT
Mac 19, 2025 11:15 MYT
Tertuduh diiringi pegawai SPRM keluar selepas selesai sebutan kesnya dalam Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Seorang anggota polis berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan meminta suapan gelang emas sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas seorang wanita berkaitan kes pukul kira-kira dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Khairi Aswadi Mohamad, 46 bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh didakwa meminta suapan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas suspek wanita berusia 39 tahun berkaitan kes pukul.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makanan segera di Taman Chengal, Temerloh kira-kira jam 2 petang, 15 April 2023 lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad di hadapan Hakim Sazlina Safie.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bercagar ke atas tertuduh dengan syarat tambahan perlu melapor diri di pejabat SPRM terdekat (Temerloh) setiap bulan, tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sementara itu, peguam, Datuk Bob Arumugam yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan ke atas anak guamnya yang sudah berkhidmat 25 tahun dalam pasukan dikurangkan.
Mengambil kira rayuan itu, mahkamah membenarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh dikurangkan kepada RM8,000 dengan syarat tambahan seperti dikemukakan pihak pendakwaan.
Sementara itu, 15 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. - Sinar Harian