Sarjan didakwa bunuh dan samun pesara tentera di Melaka
Raffi Bachik
Julai 28, 2017 12:27 MYT
Julai 28, 2017 12:27 MYT
Seorang polis tentera berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan membunuh dan melakukan samun bersenjata terhadap pasangan suami isteri di Sungai Udang, Melaka dua minggu lalu.
Tertuduh, Darmadi Sulaiman, 35, yang memakai kemeja-T kelabu bagaimanapun hanya menunduk faham sejurus kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Norina Maludin dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan pertama dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Darmadi didakwa menyebabkan kematian terhadap Abdul Rahman Pileh, 60 tahun yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut melakukan rompakan bersenjata sehingga mencederakan isteri Abdul Rahman, Sabturiah Lakidau, 59, dan dituduh mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksima 20 tahun dan sebat atau denda.
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di kediaman pasangan suami isteri tersebut di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang sekitar 7.45 petang hingga 8.10 malam, 14 Julai lalu.
Terdahulu, prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria mencadangkan mahkamah untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin manakala Darmadi tidak diwakili peguam.
Norina kemudian pada penghakimannya menetapkan 5 September ini untuk tarikh sebutan semula dan laporan kimia.
Pada 14 Julai lalu, dalam kejadian sekitar 8 malam, Abdul Rahman yang juga bekas anggota Batalion Kesembilan Rejimen Askar Melayu Diraja ditemui mati akibat ditetak senjata tajam di ruang tamu rumahnya di Taman Bukit Terendak, Sungai Udang.
Manakala isterinya, Sabturiah, parah selepas ditumbuk pada mulut, dagu dan leher serta pergelangan tangannya turut dikelar.
Suspek kemudian ditahan kira-kira dua jam selepas kejadian di sekitar taman perumahan berkenaan.
#bersenjata
#bunuh
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#mati
#polis
#samun
#sarjan tentera
#suspek
#tentera
#warga emas