Saringan wajib: 3,739 pekerja asing disahkan positif COVID-19 - Ismail Sabri

Fareez Azman
Januari 22, 2021 10:16 MYT
Ismail Sabri berkata, semua mereka disaring di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seramai 3,739 daripada 190,429 pekerja warga asing yang menjalani ujian saringan wajib disahkan positif COVID-19 di negara ini.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semua mereka disaring di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan.
"Semalam (Khamis), Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 5,819 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 84 orang disahkan positif.
"Secara kumulatifnya, seramai 190,429 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 yang melibatkan 7,198 majikan. Daripada jumlah ini sebanyak 3,739 telah disahkan positif COVID-19 manakala 186,690 lagi adalah negatif," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambah Ismail Sabri, sehingga kini sebanyak 852 buah klinik telah terlibat dalam program saringan itu.
#ismail sabri yaakob #Kuala Lumpur #Negeri Sembilan #warga asing #pekerja asing #COVID-19 #ujian saringan #saringan wajib #Menteri Kanan Pertahanan #Pekerja