Saringan suhu badan antara peraturan sebelum guna tren Rapid KL

Bernama
Mei 3, 2020 04:08 MYT
Semua pengguna tren Rapid KL yang menggunakan perkhidmatan itu diwajibkan mengikuti beberapa langkah kawalan pergerakan penumpang yang ditetapkan. -Gambar hiasan
Semua pengguna tren Rapid KL yang menggunakan perkhidmatan itu bermula hari ini diwajibkan mengikuti beberapa langkah kawalan pergerakan penumpang yang ditetapkan bagi memastikan penjarakan sosial dan kesesakan dapat dielak semasa berada di platform dan tren.
Menerusi notis yang disiarkan di media sosial Rapid KL, hanya sebilangan penumpang yang dibenarkan masuk dan bergerak serta penumpang dijangka mengalami masa menunggu dan perjalanan lebih lama daripada biasa.
"Pemeriksaan suhu badan akan dijalankan sebelum penumpang dibenarkan masuk ke dalam stesen dan penumpang yang mempunyai suhu badan yang tinggi perlu mengelak daripada menggunakan pengangkutan awam.
"Pegawai stesen juga akan mengawal pergerakan penumpang sebelum atau selepas pintu automatik. Penumpang juga dinasihatkan sentiasa memakai penutup hidung dan mulut dan menggunakan cecair pembasmi kuman," menurut notis itu.
Penumpang turut dinasihat mengamalkan penjarakan sosial semasa berada di platform dan tren dengan berdiri di tempat yang ditanda garisan merah dan tidak duduk di kerusi yang dilekatkan dengan notis dan bertanda 'X'.
Sementara itu, jurucakap Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ketika dihubungi memaklumkan peraturan dikeluarkan oleh Rapid KL itu adalah berdasarkan garis panduan Kementerian Pengangkutan.
Kerajaan pada Ahad memaklumkan hanya separuh penumpang daripada kapasiti sebenar dalam pengangkutan awam dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi orang ramai.
-- BERNAMA
#COVID-19 #elak kesesakan #langkah kawalan pergerakan #pemeriksaan suhu badan #penjarakan sosial #Prasarana Malaysia Berhad #Rapid KL
;