Saringan pekerja asing: MMA cadang KKM lakukan audit di lokasi

Bernama
Disember 20, 2020 21:23 MYT
Audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan COVID-19. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan menjalankan audit di lokasi ketika proses saringan secara besar-besaran terhadap pekerja asing dijalankan bagi memastikan standard dan pematuhan sepenuhnya garis panduan saringan COVID-19.
Presiden MMA Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata audit itu boleh dijalankan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) Kementerian Kesihatan (KKM).
Beliau berkata audit itu juga perlu dilakukan bagi mengelakkan cubaan orang tengah untuk mengkomersialkan ujian saringan COVID-19 yang semakin meningkat, disebabkan permintaannya yang semakin tinggi.
"Nampaknya tiada kawalan atau penguatkuasaan ke atas aktiviti orang tengah ini yang bertindak sebagai ejen untuk menawarkan perkhidmatan saringan COVID-19 kepada majikan.
"Perlu diingat bahawa orang-orang tengah ini, bukanlah penyedia penjagaan kesihatan.
"Majikan perlu sedar bahawa hanya pengamal perubatan am yang akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap saringan dan standard penjagaan yang disediakan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada 11 Dis, MMA mengingatkan majikan agar berwaspada terhadap orang tengah atau syarikat bukan penyedia penjagaan kesihatan, yang menawarkan perkhidmatan saringan COVID-19 yang menyasarkan pengamal perubatan yang mempunyai masalah dengna mengenakan bayaran profesional yang rendah dan seterusnya mereka boleh mendapat keuntungan yang lebih daripada majikan.
KKM pada awal November menyatakan ujian COVID-19 oleh pihak swasta hanya boleh dijalankan di klinik perubatan swasta, pusat penjagaan ambulatori atau hospital swasta, manakala hanya klinik perubatan swasta boleh menawarkan saringan di lokasi seperti di kilang, dewan orang ramai ataupun pejabat.
-- BERNAMA
#MMA #pekerja asing #audit #saringan #COVID-19 #KKM #CKAPS #Persatuan Perubatan Malaysia