Saringan lokaliti PKPD punca kenaikan kes COVID-19 - Dr Noor Hisham
Astro Awani
Julai 13, 2021 20:07 MYT
Julai 13, 2021 20:07 MYT
KUALA LUMPUR: Saringan di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menjadi punca kenaikan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, ia merupakan kesan saringan bersasar yang dijalankan ketika ini, selain ia menjadi keperluan di kilang dan tempat kerja untuk melakukan prosedur berkenaan.
"Kedua untuk pekerja positif, kebanyakan saringan ini, 53 peratus adalah dalam kategori 1, jadi kalau tahap 1 dan 2 kita jangkakan lebih kurang 85 peratus.
"Jadi, 15 peratus mungkin memerlukan iaitu kategori 3, 4 dan 5 . Kategori 5 antara 5 ke 10 peratus tetapi yang menjadikan hospital kita sesak ialah kategori 4 dan 5 yang memerlukan rawatan berpanjangan," katanya semasa sidang media khas pada Selasa.
Dalam pada itu jelas Dr Noor Hisham, purata rawatan adalah 14 hari untuk pesakit kategori 4 dan 21 hari untuk pesakit kategori 5.
Ujarnya, pertambahan kes setiap hari menjadikan wad unit rawatan rapi (ICU) sesak.
Namun katanya, pihaknya telah melihat kepada ruang-ruang yang ada di hospital untuk dijadikan tempat tambahan bagi katil menerusi kerjasama dengan Hospital Angkatan Tentera dan sebagainya.
Jelasnya, pesakit kategori 4 memerlukan oksigen sementara kategori 5 memerlukan bantuan alat pernafasan.
Dalam pada itu katanya, peningkatan semula kes COVID-19 negara juga adalah disebabkan varian Delta.
Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat yang bermula 1 Jun lepas sebenarnya telah mengurangkan kes dari 9,000 ke 4,000.
"Sebelum ini ada varian Delta yang telah merebak ke seluruh negara, setiap negeri terkesan dengan varian ini.
"Varian ini merebak dengan cepat, kalau kita lihat pada permulaan jangkitan merebaknya varian ini, R-naught adalah lima sehingga lapan, bererti virus (varian) Wuhan adalah 2.5, 2.3.
"Bererti kalau 100 orang dijangkiti, ia boleh menjangkiti 800 orang dalam tempoh yang singkat. Ini ialah kerana jangkitan ini mengikut udara atau airborne transmission," ujarnya.
#ICU
#PKPD
#COVID-19
#jangkitan
#alat pernafasan
#saringan
#Dr Noor Hisham Abdullah
#saringa bersasar
#Selangor
#Kuala Lumpur