Saringan Komuniti Bersasar untuk warga Selangor bermula 8 Mei - MB

Astro Awani
Mei 7, 2021 20:10 MYT
Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan Saringan Komuniti Bersasar kepada warganya secara percuma bermula 8 Mei sehingga 10 Jun di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sasaran dua DUN dalam sehari.
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan melaksanakan Saringan Komuniti Bersasar kepada warganya secara percuma bermula 8 Mei sehingga 10 Jun di setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan sasaran dua Dun dalam sehari.
Saringan bermula di Dun Kajang dan Semenyih, dan seterusnya Dun Sungai Ramal serta Balakong.
Ia kemudian akan diikuti Dun lain yang akan diumumkan apabila tiba masanya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, inisiatif itu dilakukan memandangkan kebanyakan warga negeri itu yang tidak bergejala atau pembawa penyakit senyap sehingga menyebabkan Gelombang Keempat wabak.
Ia juga selaras dengan prinsip Find, Trace, Test, Isolate dan Support System (FTTIS) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Selangor.
"Kita juga akan membuat uji kaji, ujian dan akhirnya kita akan asingkan mereka yang positif dengan negatif yang akhirnya kita akan dapat mengawal perebakan wabak ini," kata Amirudin dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya hari ini.
Justeru, warga Selangor dinasihatkan untuk merujuk laman sosial milik Kerajaan Negeri bagi mengetahui tarikh, dan lokasi Saringan Komuniti Bersasar di Dun masing-masing.
"Ajak beramai-ramai, bawa saudara -mara dan pastikan dengan ujian ini kita akan dapat mengenal pasti kita bebas atau kita telah dijangkiti COVID-19. Dengan cara tersebut kita dapat mengasingkan diri kita dengan atau mereka yang positif dan negatif. Kita boleh menang," katanya.
Ketahui lokasi dan tarikh khidmat saringan percuma berdekatan anda di www.amirudinshari.com/saringan-covid19
#Menteri Besar #Amirudin Shari #laman sosial #kerajaan #COVID-19 #saringan #komuniti #DUN #Selangor #saringan komuniti bersasar
;