Saringan ketat untuk pemilihan 500 pelajar program MyBrain 2.0
Bernama
Oktober 30, 2023 19:15 MYT
Oktober 30, 2023 19:15 MYT
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melakukan saringan ketat dalam pemilihan 500 pelajar cemerlang setahun bagi program biasiswa MyBrain yang diperkenalkan semula tahun depan sebagai MyBrain 2.0.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Biasiswa KPT Mazlina Mokhtar berkata program MyBrain 2.0 dikhususkan untuk pengajian peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) di universiti awam dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih dalam negara, dengan keutamaan diberikan kepada bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Beliau berkata pelajar di bawah program itu juga disasarkan dalam kalangan orang awam tidak bekerja, tidak berpendapatan tetap dan pensyarah IPTS yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah.
"Kita buat saringan lebih ketat dan calon juga akan ditemuduga. Kali ini KPT fokus pelajar dapat menamatkan pengajian tepat pada masanya, sebab itu kita pilih yang terbaik sahaja.
"Kami juga akan buat pemantauan ke atas pelajar dari awal pengajian lagi dengan kerjasama pihak universiti," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika melancarkan program MyBrain 2.0 pada Khamis lepas berkata KPT memperuntukkan RM20 juta bagi setiap ambilan dengan sasaran penerima seramai 500 orang setahun dalam bidang yang kompetitif.
Sementara itu, pelajar, Mohamad Afiq Amiruddin Parnon, 33, berkata keputusan kerajaan memperkenalkan semula program MyBrain dapat membantu pelajar khususnya yang kurang berkemampuan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Pengenalan semula program ini juga selari dengan matlamat untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia dan lebih penting ilmu yang diperoleh dapat memberi manfaat kepada negara," katanya yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Manchester, United Kingdom.
Nor Nadia Zakaria, 37, pula berkata program MyBrain 2.0 akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapat tahap pendidikan yang lebih baik.
"Pengenalan semula program MyBrain ini amat bagus kerana ramai yang berminat untuk sambung belajar tetapi berdepan kekangan kewangan hingga ada yang sanggup membuat pinjaman bank bagi melanjutkan pelajaran.
"Lagipun biasiswa yang ditawarkan dalam negara biasanya terhad, jadi dengan adanya program ini ramai yang akan mendapat manfaat," katanya.
-- BERNAMA