Saringan COVID-19 pekerja binaan setiap dua minggu dikaji - Fadillah
Fareez Azman
November 18, 2020 20:01 MYT
November 18, 2020 20:01 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengkaji pelaksanaan prosedur tambahan untuk mengawal penularan COVID-19 di kalangan pekerja binaan termasuk saringan setiap dua minggu.
Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, perbincangan akan dijalankan bersama pemain industri dalam masa terdekat.
"Kita akan mengadakan 'engagement' dengan semua pemain industri, syarikat pembinaan... kita akan bawa bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan persatuan-persatuan mewakili kontraktor.
"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) setiap hari akan membuat pemeriksaan bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)... diharapkan kita akan angkat satu lagi level.
"Amalan di Singapura, semua pekerja asing kena membuat saringan setiap dua minggu sekali, kalau kita ikut Singapura ini, tujuan kita buat 'engagement' kontraktor dan persatuan-persatuan supaya ini boleh kita patuhi.
"Sudah tentu kos akan meningkat, kalau kita tidak laksanakan ini, kontraktor akan rugi juga kalau berlaku kes di tapak binaan, kena tutup dua minggu," katanya.
Justeru pihaknya jelas Fadillah, akan bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam tempoh terdekat.
"Ini kita sedang kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagaimana nak absorb some of the cost, bukan semua ditanggung oleh pihak pemaju tetapi ada bantuan daripada PERKESO.
"Kalau ini dapat dilakukan, meningkatkan SOP dan memastikan tapak binaan menjadi lebih selamat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wawancara Belanjawan 2021 di Kementerian Kerja Raya pada Rabu.
#COVID-19
#Kementerian Kerja Raya
#pekerja asing
#sektor pembinaan
#Menteri Kerja Raya
#Fadillah Yusof
#Belanjawan 2021
#cidb
#PDRM
#Kementerian Sumber Manusia
#SOP
#saringan