Sari Nuar Tan tinggalkan legasi dalam pembangunan pendidikan, ekonomi Sabah - Hajiji
Bernama
Mac 25, 2024 23:16 MYT
Mac 25, 2024 23:16 MYT
KOTA KINABALU: Mendiang Datuk Seri Sari Nuar Tan telah meninggalkan legasi cemerlang dalam pembangunan pendidikan dan ekonomi negeri, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata mendiang bukan hanya seorang tokoh pemimpin yang berjaya malah seorang 'visioner' yang amat prihatin terhadap pembangunan pendidikan dan kesejahteraan sosial ekonomi negeri ini.
Katanya mendiang Sari Nuar Tan menjadi pelopor dalam pembangunan pendidikan di negeri termasuklah dalam menyediakan biasiswa.
"Beliau juga menggalakkan perkembangan program pendidikan dengan matlamat utama agar setiap anak Sabah memiliki akses untuk mendapatkan pendidikan berkualiti tanpa dibatasi jarak dan status ekonomi.
"Sumbangannya tidak hanya membantu membentuk generasi muda yang berpengetahuan, malah beliau turut berusaha untuk mengurangkan jurang kemiskinan dan mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini," katanya pada Perhimpunan Peringatan Mendiang Datuk Seri Sari Nuar Tan di Dewan Sekolah Menengah (SM) Kian Kok di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir
Hajiji berkata semasa menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah SM Kian Kok dari tahun 1984 hingga 2014, banyak inisiatif dilakukannya untuk membantu pelajar termasuk memberi biasiswa kepada anak-anak ahli yang cemerlang dalam akademik.
Beliau berkata ketika hayatnya, Sari Nuar Tan pernah memegang pelbagai jawatan dalam beberapa pertubuhan termasuk Presiden Dewan Perhimpunan Cina Sabah, Presiden Dewan Perniagaan Cina Sabah dan Presiden Dewan Perniagaan Cina Kota Kinabalu.
"Jasa dan sumbangan mendiang akan terus dikenang dan dihargai oleh kerajaan negeri," katanya.
Sari Nuar Tan meninggal dunia pada usia 70 tahun di sini pada 25 Mac 2014.
-- BERNAMA