Sari betik alternatif rawatan denggi

Astro Awani
Mei 11, 2015 17:06 MYT
...
Bimbang dengan wabak denggi yang semakin serius di negara ini, sebuah syarikat, Al Faris Enterprise, mengambil inisiatif menghasilkan produk jus minuman sebagai alternatif untuk rawatan denggi.
Jus yang berasaskan daun betik itu mampu menghasilkan platlet darah di dalam badan pesakit bagi merawat denggi dan demam denggi berdarah dengan lebih cepat.
Penasihat syarikat, Datuk Dr Shuib Saidin berkata, produk yang mengandungi beberapa enzim itu mampu membantu menghalang duplikasi virus sekaligus mengaktifkan proses penyembuhan demam denggi.
“Daun betik ni mengadungi beberapa enzim di mana yang paling penting ialah kymope. Enzim ini ‘induce’ penghasilan platlet darah dengan cepat.
“Denggi sebenarnya tiada rawatan khusus, pesakit denggi Cuma diberikan ‘drip’ dan kalau semakin teruk, akan dijalankan proses pemindahan darah bagi menambahkan platlet dalam darah. Tetapi peratusnya sangat rendah.
“Jus ini menggalakkan badan kita menghasilkan platlet dalam badan. Kesannya memang cepat and efektif,” kata Shuib.
Tambahnya, syarikat telah menjalankan kajian dalam dua hingga tiga bulan bagi menghasilkan jus sari betik serta telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
Jelasnya juga, pihaknya turut bekerjasama dengan pihak kementerian dengan membuat kajian ke atas dua kumpulan pesakit demam denggi di hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang, Selangor baru-baru ini.
“Penyelidikan yang dibuat melibatkan dua kumpulan pesakit; satu kumpulan diberi rawatan biasa manakala satu lagi diberi jus betik. Didapati peratus pesakit yang pulih dengan cepat adalah mereka yang mendapat jus betik,” katanya lagi.
Shuib berkata, selain khasiat untuk rawatan alternatif demam denggi, jus yang berserat tinggi itu juga mampu merawat migrain, rawatan kulit dan menurunkan paras kolestrol dalam darah.
Sebagai permulaan katanya, pihaknya akan bergerak ke seluruh selangor dan akan menjualnya kepada orang ramai secara terus sebelum produk jus berkenaan di pasarkan melalui pemborong dan peruncit.
#demam denggi #jus betik
;