Sarawak yakin capai sasaran 50 peratus amalan penyusuan susu ibu

Bernama
September 25, 2016 09:19 MYT
Setakat ini sasaran 30 peratus sudahpun berjaya dicapai yang mana para ibu menyusukan bayi mereka untuk tempoh antara enam hingga 17 bulan. -Gambar fail
Sarawak yakin untuk mencapai sasaran 50 peratus amalan penyusuan susu ibu dalam kalangan ibu yang baru melahirkan anak berikutan usaha komprehensif kerajaan dan kerjasama kumpulan sokongan penyusuan susu ibu.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Fatimah Abdullah berkata, setakat ini sasaran 30 peratus sudahpun berjaya dicapai, iaitu para ibu menyusukan bayi mereka untuk tempoh antara enam hingga 17 bulan.
Menurutnya, kesemua hospital kerajaan di negeri ini dan beberapa hospital swasta telah melaksanakan dasar rakan bayi yang membimbing serta memberi galakan kepada golongan ibu yang baharu bersalin.
"Pada masa kini terdapat 11 klinik rakan bayi di luar bandar dan 60 kumpulan sokongan wanita memain peranan masing-masing untuk membantu mencapai sasaran 50 peratus.
"Oleh itu dengan adanya dasar-dasar diperkenalkan kerajaan bagi menggalakkan penyusuan susu ibu kepada bayi, saya yakin sasaran itu bagi Sarawak akan tercapai," katanya ketika melancarkan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2016 di sebuah kompleks membeli-belah di sini pada Sabtu.
Selain itu katanya, Sarawak kini juga dalam usaha membiasakan amalan penyusuan susu di tempat-tempat awam yang sebelum ini menjadi stigma kepada masyarakat sebagai amalan kurang sopan.
"Masih ramai golongan ibu yang masih segan untuk menyusukan bayi mereka semasa berada di tempat awam dan terpaksa menunggu sehingga kembali ke rumah untuk menyusukan bayi," kata beliau.
Menurut beliau, kini sudah terdapat banyak peralatan sokongan seperti selimut dijual di pasaran yang boleh digunakan untuk para ibu menyusukan bayi mereka di tempat awam.
Beliau juga menasihati masyarakat supaya tidak menganggap amalan menyusukan bayi di tempat awam sebagai kurang sopan. - BERNAMA
#Fatimah Abdullah #penyusuan susu ibu
;