Sarawak wartakan Peraturan Perlindungan Kesihatan sepanjang PKPB
Astro Awani
Mei 14, 2020 18:26 MYT
Mei 14, 2020 18:26 MYT
Sarawak mewartakan Peraturan Perlindungan Kesihatan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini (14 Mei 2020) sehingga 9 Jun 2020.
Langkah penguatkuasaan ini diambil untuk mengelakkan gelombang kedua COVID-19 berlaku selepas pembukaan sektor ekonomi dan kepulangan mahasiswa dari seluruh negara ke negeri itu.
Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Profesor Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, perkara ini dibolehkan kerana Sarawak mempunyai autonomi kerajaan tempatan.
“Sarawak perlu memperkenalkan beberapa langkah lain dan jika kita tidak mewartakannya, langkah-langkah yang diperkenalkan ini tidak memiliki kedudukan yang sah.
“Jadi beberapa langkah seperti orang Sarawak yang pulang, mereka perlu dikuarantin di rumah dan dipasangkan dengan gelang tangan pengesanan,” jelasnya semasa sidang media harian COVID-19 di Kuching pada Khamis.
Tambahnya usaha ini bagaimanapun memerlukan kerjasama dan sokongan daripada keseluruhan warga Bumi Kenyalang.
“Ada laporan yang diterima mengatakan terdapat mereka yang masih keluar seperti biasa biarpun diarahkan menjalani kuarantin dan mengingkari tujuan penggunaan gelang tangan pengesanan (wristband).
“Kerjasama semua pihak sangat penting dalam memastikan kita berjaya mengawal penluaran wabak ini, jadi sekiranya anda diminta menjalani kuarantin, patuhilah arahan tersebut,” tambahnya.
Sementara itu Sarawak hari ini tidak mencatatkan sebarang kes positif terbaharu COVID-19 dan sembilan kes dilaporkan sembuh dan telah discaj dari hospital.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#kuarantin
#Kuching
#PKPB
#Sarawak
#sektor ekonomi
#sim kui hian
#wristband