Sarawak: Tiada kes positif COVID-19 terbaharu, tujuh kluster kekal aktif

Syafik Shukri Jalil
Ogos 17, 2020 08:20 MYT
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin mendedahkan, tujuh kluster masih kekal aktif setakat ini. - Gambar fail
Sarawak hari ini tidak mencatatkan pertambahan terbaharu kes positif COVID-19 menjadikan jumlah kes positif setakat ini kekal dengan 682 kes.
Menerusi kenyataan media dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin, tujuh kluster masih kekal aktif setakat ini.
Kesemua tujuh kluster itu melibatkan 62 kes dan Kluster Sentosa setakat ini mencatatkan kes positif tertinggi dengan 31 kes.
Selain itu, tiada pertambahan bagi kes pulih dan discaj bagi seluruh negeri untuk hari ini.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes postif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj setakat hari ini kekal seramai 659 orang atau 96.63 peratus,” tambah kenyataan sama.
Antara lain empat kes positif dilaporkan masih menerima rawatan di wad isolasi hospital melibatkan tiga kes di Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes di Hospital Sibu.
“Jumlah kematian kekal 19 kes atau 2.79 peratus. Hari ini sebanyak dua kes Person Under Investigation (PUI) baharu dilaporkan manakala satu kes masih menunggu ujian makmal,” ujar kenyataan itu.
#AWANI Sarawak #COVID-19 #JPBNS #kluster aktif #kluster Sentosa #Kuching #Person Under Investigation #Sarawak #Sibu