Sarawak teruskan sambutan ambang tahun baharu, suntik semangat kepada mangsa banjir

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 26, 2022 13:57 MYT
Jelas Abdul Karim, tidak wajar sambutan ambang tahun baharu dibatalkan akibat banjir yang secara realiti sering berlaku di negara ini termasuk Sarawak hampir setiap hujung tahun. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Sarawak akan meneruskan penganjuran Sambutan Ambang Tahun Baru 2023 dengan skala yang lebih kecil sebagai simbolik memperingati perjuangan dan kemenangan rakyat negeri itu dalam mendepani cabaran sepanjang tahun ini.
Ia juga sebagai satu bentuk solidariti dan kebersamaan kerajaan negeri dalam membantu serta mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat negeri ini yang terkesan dengan bencana banjir.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata,keputusan itu juga telah dibuat selepas mendapatkan nasihat daripada Kabinet Kerajaan Negeri dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Atas nasihat serta bagi menyahut seruan Perdana Menteri agar acara seperti ini ditunda, maka kita bertindak mengecilkan skala sambutan kemudian berpindah ke stadium perpaduan, di mana dari segi pengisian, persembahan nyanyian dan sebagainya masa dikekalkan.
“Ini bukan bererti kalau kita menghadapi musibah pada hujung tahun, terus semuanya kita hentikan, kemalangan dan kematian berlaku setiap hari, sambutan ini kelak adalah untuk mengingati peristiwa yang berlaku dalam negeri dari Januari hingga Disember,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Krismas Anglican di Gereja St.Thomas di sini pada Isnin.
Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Kerajaan Persekutuan telah membatalkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini berikutan keadaan beberapa negeri yang dilanda musibah banjir.
Jelas Abdul Karim, adalah tidak wajar sekiranya Sambutan Ambang Tahun Baru dibatalkan akibat banjir yang secara realiti adalah bencana alam yang sering dialami rakyat seluruh negara termasuk Sarawak setiap kali penghujung tahun.
“Saya tidak menafikan banjir yang teruk ada berlaku setiap tahun, maka adakah setiap kali banjir hujung tahun, sambutan tahun baru akan dibatalkan, kerana setiap hujung tahun akan berlaku juga musim monsun, bagi saya tidak salah meraikan tahun baru tetapi biarlah dalam keadaan bersederhana serta bersimpati kepada mangsa.
“Ada perkara yang perlu kita raikan, dan kita juga mengingati mereka yang menghidapi musibah bencana, mereka yang berperang melawan Pandemik COVID-19, dan kita juga mula menyaksikan peningkatan kemasukan pelancong ke Sarawak yang kini mencecah jutaan orang, rakyat gembira dan inilah penyebab acara ini diteruskan,” ujarnya lanjut.
#tahun baharu #2023 #Sarawak #banjir
;