Sarawak terima bekalan vaksin 24 Februari ini

Fadilah Sulaiman
Februari 21, 2021 15:55 MYT
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak turut mahu kerjasama orang awam untuk menjayakan usaha membendung penularan COVID-19.
KUCHING: Penghantaran vaksin ke Sarawak akan dilakukan pada 24 Februari ini sebelum pelancaran program imunisasi negeri yang dijadual pada 27 Februari 2021, kata Prof Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kerja-kerja persiapan untuk ketibaan vaksin itu digiat dijalankan.
"Ini termasuk kerja persiapan program imunisasi fasa pertama. Dari segi logistik, proses penghantaran memerlukan pemantauan rapi di tujuh lokasi utama Pusat Simpanan Vaksin iaitu di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sri Aman, Sarikei, Limbang sebelum diedarkan ke 56 Pusat Pemberian Vaksin (PPV)," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.
Sumber Facebook dr.sim.kui.hian
Optimis program imunisasi ini akan berjalan lancar, jelas Dr Sim ia disandarkan kepada keupayaan kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang terlatih dari awal hingga akhir proses vaksinasi.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak turut mahu kerjasama orang awam untuk menjayakan usaha membendung penularan COVID-19.
"Persiapan yang terbaik sudah dilakukan dan kita mengharpkan kerjasama rakyat Sarawak. Kita menyasarkan 70 peratus rakyat negeri ini divaksin demi melindungi masyarakat," katanya.
Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mengatur gerak penghantaran vaksin ke Sabah dan Sarawak.
Tambah Khairy, tiada tarikh atau masa ditetapkan untuk menghantar bekalan vaksin itu ke kedua-dua negeri tersebut.
Awal Ahad, sebanyak 312,390 dos vaksin COVID-19 selamat mendarat pada pukul 10 pagi tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang.
#Sarawak vaksin #Dr Sim Kui Hian #bekalan vaksin #program imunisasi #KKM #Khairy Jamaluddin #Kementerian Kesihatan #Sarawak #COVID-19
;