Sarawak tentukan hala tuju eksplorasi minyak dan gas dua minggu lagi

Astro Awani
Oktober 22, 2020 11:07 MYT
Abang Johari pernah membayangkan Sarawak bakal mempunyai sumber pendapatan baharu daripada hasil minyak dan gas. - Foto: Astro AWANI
SIBU: Hala tuju eksplorasi minyak dan gas Sarawak akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.
Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika mengulas mengenai perancangan masa depan kerajaan Sarawak berhubung sumber asli di negeri itu.
“Kita ada kuasa kita dalam melaksanakan cukai minyak dan gas.
“Ada lagi yang akan saya lakukan dua minggu dari sekarang berkaitan minyak dan gas,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sini pada Rabu.
Sarawak dijangka akan memulakan eksplorasi sumber minyak dan gasnya di negeri ini berdasarkan peruntukan di bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.
Sebelum ini Abang Johari membayangkan bahawa Sarawak bakal mempunyai sumber pendapatan baharu daripada hasil minyak dan gas.
Malah beliau juga pernah mengulangi kenyataan sama mengenai sumber asli berkenaan yang terdapat di kawasan utara Sarawak.
Beliau yakin dengan sumber baharu itu akan memberikan pulangan lumayan bagi menjamin masa depan Sarawak yang lebih cerah.
#Sarawak #minyak #gas #petroleum #OMO #rakyat #menteri #cukai #kerajaan #Ketua Menteri #Abang Johari
;