Sarawak teliti perancangan miliki syarikat penerbangan sendiri - Abang Johari

Astro Awani
November 23, 2020 15:28 MYT
Namun dengan pembelian pegangan itu, Sarawak hanya akan memiliki pegangan minoriti dan ia tidak membawa kesan kepada kelangsungan ekonomi negeri itu. FOTO: BERNAMA
KUCHING: Kerajaan Sarawak masih meneliti perancangan untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, sebelum ini sudah ada perancangan untuk membeli pegangan saham dalam syarikat penerbangan sedia ada.
Namun dengan pembelian pegangan itu, kata Abang Johari Sarawak hanya akan memiliki pegangan minoriti dan ia tidak membawa kesan kepada kelangsungan ekonomi negeri itu.
“Lebih baik memiliki syarikat penerbangan sendiri dan tiada liabiliti. Kami (kerajaan negeri) masih mengkaji dan bersetuju adanya keperluan untuk memiliki syarikat penerbangan sendiri.
“Ini bagi menghubungkan lokasi strategik seperti Hong Kong, Korea, Jepun dan Australia,” kata Abang Johari.
Tambahnya dengan pewujudan syarikat penerbangan sendiri, ia akan menjadi pendekatan yang lebih strategik membawa masuk pelancong terus ke negeri itu.
“Syarikat penerbangan ini mungkin bukan 100 peratus milik kerajaan tetapi akan diwujudkan dengan penglibatan sektor swasta.
“Ini kerana penglibatan sektor swasta dalam syarikat penerbangan adalah penting dengan ikuiti daripada kerajaan negeri,” tambahnya.
Abang Johari berkata demikian dalam webinar anjuran Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) pada Isnin.
#syarikat penerbangan Sarawak #rancangan kerajaan negeri #langkah strategik industri pelancongan #penglibatan sektor swasta #sektor pelancongan Sarawak
;