Sarawak teliti mekanisme khas bawa masuk pekerja asing

Nuzuluddin Abdul Razak
Februari 3, 2021 10:48 MYT
Mekanisme khas penting memandangkan industri di Sarawak memerlukan khidmat pekerja asing.
KUCHING: Satu mekanisme khas akan diputuskan Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak bagi membawa masuk pekerja asing secara sah ke negeri itu.
Pengerusinya, Tan Sri James Jemut Masing berkata, mekanisme itu penting memandangkan industri di Sarawak memerlukan khidmat mereka.
Ekoran permintaan tinggi itu tegas Masing, kes kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Sarawak melalui laluan tikus juga meningkat.
"Pasukan ini akan berusaha merumuskan dasar yang lebih tersusun sehingga pekerja asing ini dapat masuk ke Sarawak secara tersusun dan selamat.
"Suka atau tidak, industri kita di Sarawak memang memerlukan perkhidmatan mereka,” kata Masing dalam kenyataannya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak di Kuching pada Rabu.
Dalam pada itu ujar beliau, kawalan keselamatan sempadan Sarawak akan diperketatkan bagi memastikan tiada kemasukan PATI ke negeri ini termasuk meningkatkan sekatan jalan raya di beberapa kawasan seperti Lundu, Serian, Bau, Biawak, Balai Ringin dan Lubok Antu.
Jelas Masing, operasi pemantauan kemasukan PATI ini tidak hanya terarah kepada laluan tikus tetapi juga jalan laut.
Beliau memberi amaran kepada tekong yang menjadi orang tengah membawa masuk PATI ke negeri ini kerana mereka berdepan tindakan tegas.
"Usaha lebih kolaboratif akan dilakukan dengan penubuhan pasukan bersama melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Pasukan itu akan dipengerusikan dan dikoordinasikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datu Safri Zainuddin.
#mekanisme khas #kemasukan pekerja asing #James Jemut Masing #Jawatankuasa Keselamatan Sempadan Sarawak #Sarawak #pati #laluan tikus