KUCHING: Kerajaan Sarawak menawarkan pinjaman RM1 bilion kepada kerajaan persekutuan sebagai peruntukan pendahuluan untuk membina sebuah pusat kanser di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan akan dibentangkan kepada kabinet serta Perdana Menteri untuk diluluskan.

“Peringkat seterusnya untuk mendapatkan kelulusan kabinet dan Perdana Menteri.

"Maka dengan pinjaman ini, pihak di Kuala Lumpur tidak ada alasan untuk mengatakan ‘tak ada duit’ untuk menangguhkan pembinaan fasiliti yang begitu penting ini.

“Sementara kita menunggu, ada antara rakyat Sarawak yang telah terkorban akibat kanser. Dalam tempoh setahun, Sarawak mencatatkan 5,000 kes kanser, iaitu 40 peratus daripada keseluruhan pesakit di Pusat Kanser Negara di Putrajaya.

“Sekarang ini kita memiliki sekitar 150 katil untuk pesakit kanser dan jumlah ini tidak memcukupi dan perlu ditambah kepada 200 ke 300 katil,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook semalam.

Hantaran tersebut dimuat naik susulan pertemuan antara Dr Sim dan Khairy di Kuala Lumpur, bagi membincangkan perkara berkenaan.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Sarawak Michael Tiang Ming Tee.


Jelas Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu lagi, beberapa kerjasama dan tuntutan perkara berhubung pembangunan kesihatan di antara kerajaan persekutuan dan negeri juga dibincangkan.

“Kita turut mengemas kini status Hospital Sri Aman dengan beberapa peralatan hemodialisis yang baru dan projek pembesaran Klinik Kesihatan Batu Kawa bernilai RM500,000 untuk fisioterapi dan terapi pekerjaan.

"Namun kita masih menunggu kelulusan dan peruntukan daripada pusat.

“Dalam pada itu, Sarawak masih meneruskan tuntutan berhubung penurunan kuasa antaranya melibatkan pengurusan kesihatan kepada negeri ini selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Setakat ini Sarawak hanya memiliki Jabatan Kanser yang berperanan mengendalikan hal-hal berkaitan onkologi.

Pembinaan Pusat Kanser Sarawak itu dicadangkan untuk dibangunkan berhampiran dengan Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kota Samarahan.