Sarawak tarik minat Jepun, penuhi agenda AZEC urus tenaga lestari

Nuzuluddin Abdul Razak
Jun 17, 2023 07:00 MYT
Abang Johari berucap pada Majlis Sambutan Hari Gawai Daerah Gedong di Samarahan semalam. - Foto Facebook Rodiyah Sapiee
SAMARAHAN: Keupayaan Sarawak dalam menguruskan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber ekonomi hijau berjaya menambat minat negara Jepun bagi menjayakan agenda Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, perwakilan negara itu sebelum ini menyatakan hasrat menjalin kerjasama dari sudut teknologi, dengan memanfaatkan sumber semulajadi yang kaya di negeri ini.
Jelasnya, perbincangan awal antara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Jepun dan kerajaan negeri telah dilakukan semasa kunjungan hormat ke Pejabat Premier Sarawak pada Jumaat.
"Ini adalah perkara yang boleh dilaksanakan. Semalam pegawai tinggi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Jepun berjumpa saya. Jepun hendak majukan apa yang disebut sebagai AZEC iaitu Asia Zero Emission Community. Ia ada satu dasar.
"Jepun tidak pergi ke negeri lain tetapi berkunjung ke Sarawak, kerana pihak di Jepun mengetahui bahawa Sarawak sangat maju atau terkehadapan dalam pengurusan tenaga lestari,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Gawai Daerah Gedong di sini semalam.
Tambah Abang Johari, selain merancang untuk mengutip cukai daripada projek Penangkapan dan Pengasingan Karbon (CCS) sebagai hasil negeri, Sarawak akan terus memperkasa ekonomi hijau melalui penanaman alga.
Tidak hanya menyasarkan penghasilan bahan bakar penerbangan mapan (SAF), spesis alga yang ditanam di Sarawak turut menghasilkan sumber tenaga bio-premium yang lain, termasuk bio-diesel dan nafta.
“Bukan sahaja SAF, ia (alga) juga mengeluarkan minyak biodiesel dan nafta. Semua minyak ini mahal. Dan daripada alga ini, dapat hasilkan 40 peratus SAF, 40 peratus biodiesel, dan selebihnya, nafta.
“Jika 1,000 ekar tapak penanaman alga dapat menghasilkan 10,000 tong minyak iaitu seberat 500,000 tan, kalau kita tambah lagi 10,000 ekar, maknanya 100,000 tong minyak dapat dihasilkan dalam masa satu hari, yang produk utamanya untuk penerbangan,” ujarnya lanjut.
Terdahulu, beberapa pihak termasuk wakil negara Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam mengadakan pertemuan dengan Kementerian AZEC pada 4 April lalu di Tokyo, Jepun.
Sebagai rakan kongsi AZEC, kesemua negara terlibat berkongsi idea dan pandangan tentang cabaran dan peluang penyahkarbonan dan komitmen untuk mempercepatkan peralihan tenaga yang bersih, mampan, adil, berpatutan serta inklusif ke arah pelepasan sifar bersih di rantau Asia.
#Abang Johari Tun Openg #pelepasan sifar bersih #alga #AZEC
;