Sarawak tambah RM1.1 bilion pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 2.0
Astro Awani
April 10, 2020 16:35 MYT
April 10, 2020 16:35 MYT
Kerajaan Sarawak mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) fasa dua bernilai RM1.1 bilion dalam usaha meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Serdehana (PKS), Perusahaan mikro, penjaja serta peniaga kecil di negeri itu.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan BKSS 2.0 akan memacu aktiviti perniagaan tempatan sekali gus memastikan kesinambungan perniagaan para usahawan itu dalam menghadapi krisis COVID-19.
Sehubungan itu, jelas Abang Johari, empat langkah diambil pihaknya dalam membantu para usahawan PKS, penjaja dan peniaga kecil tempatan.
"Pertama, memansuhkan kos faedah kepada PKS. Dengan kerjasama Maybank Bank, Hong Leong Bank dan RHB Bank di bawah Dana Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1 bilion kepada PKS tempatan," katanya dalam sidang media di Wisma Bapa Malaysia pada Jumaat.
Tambah Abang Johari, pihaknya turut menyediakan dana khas RM1,500 kepada 65,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, dana khas itu akan dibayar menerusi aplikasi Sarawak Pay.
"Mana-mana penjaja dan peniaga kecil yang tidak mempunyai aplikasi itu, mereka boleh mendaftar dengan mudah," katanya.
Selain itu kata Abang Johari, BKSS 2.0 juga akan memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada sifar untuk 42 bulan di bawah Skim Mikro Kredit.
Jelasnya, pemansuhan sewa juga dilaksanakan kepada PKS yang beroperasi di bangunan kerajaan negeri dan agensi di bawah kerajaan negeri.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, bantuan khas itu juga melibatkan perbelanjaan kerajaan negeri berjumlah RM182.12 juta.
"Saya ingin tegaskan di sini bahawa tidak perlu untuk Kerajaan Sarawak membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan untuk semua bantuan pakej yang telah diumumkan.
"Ini kerana dana telah disediakan melalui dana kecemasan seperti yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam bajet 2020," katanya.
#Abang Johari Tun Openg
#Bantuan Khas Sarawakku Sayang
#BKSS
#COVID-19
#Peniaga kecil
#penjaja
#Perusahan Kecil dan Sederhana
#PKS
#Sarawak