Sarawak sukar terima ahli politik Sabah sebagai Perdana Menteri - Penganalisis

Firdaus Azil
Jun 28, 2020 17:03 MYT
Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, jika percaturan itu atas sebab mahu mengubah landskap politik negara ini, Sarawak lebih layak jika mengambil kira jumlah kerusi Parlimen.
Sarawak tidak akan mudah menerima cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menamakan ahli politik dari Sabah sebagai Perdana Menteri negara ini.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, jika percaturan itu atas sebab mahu mengubah landskap politik negara ini, Sarawak lebih layak jika mengambil kira jumlah kerusi Parlimen.
"Sekiranya Dr Mahathir benar-benar ikhlas untuk menawarkan jawatan Perdana Menteri itu dari Sabah atau Sarawak, ia patut dibincangkan secara lebih terbuka. Hal ini kita dapat lihat Dr Mahathir cuba menjadikan calon dari Sabah itu satu bentuk proksi politik beliau sendiri.
“Katakan Sarawak kata, Sarawak juga boleh menjadi calon Perdana Menteri kerana Sarawak mempunyai 18 kerusi GPS misalnya. Jadi kita lihat begini, dalam konteks itu kita dapat lihat, ternyata kerusi GPS jauh melangkaui kerusi daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang cuma ada sembilan kerusi sahaja,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Pada Sabtu, Dr Mahathir dilaporkan menyatakan bahawa DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) telah bersetuju secara sebulat suara untuk menamakan Mohd Shafie sebagai calon Perdana Menteri seterusnya.
Namun dalam kenyataan balas kemudiannya, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, itu merupakan pilihan baharu dalam usaha mendapatkan kembali mandat rakyat.
BACA: Mohd Shafie sebagai PM, Anwar dan Mukhriz calon TPM 1 dan 2 - Tun Mahathir
BACA: Mohd Shafie calon PM: Perlu dibincang di peringkat kepimpinan pusat DAP, Amanah
Namun perkata itu, jelas mereka lagi, harus dibincangkan di peringkat pimpinan parti masing-masing terlebih dahulu, sebelum dimuktamadkan di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata, hujah Dr Mahathir bahawa Mohd Shafie lebih layak berbanding Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak kukuh.
Beliau berkata, Dr Mahathir sebelum ini mengatakan seseorang ahli politik itu tidak sesuai menjadi Perdana Menteri sekiranya individu itu datang dari sesebuah parti yang mewakili seluruh etnik, sedangkan Mohd Shafie juga menerajui parti berbilang kaum.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, seharusnya pencalonan Perdana Menteri itu perlu dikukuhkan dengan wacana yang lebih besar dalam konteks nasional.
“Yang penting kita nak Perdana Menteri untuk Malaysia. Bukan Perdana Menteri untuk Sabah, bukannya Perdana Menteri untuk Sarawak, tapi Perdana Menteri untuk negara kita, Perdana Menteri untuk peringkat nasional, Perdana Menteri yang dapat menyatukan seluruh rakyat Malaysia dan memastikan ekonomi negara kita lebih baik lagi.
“Inilah dalam konteks wacana apa yang diingini oleh rakyat sebenarnya,” katanya lagi.
#Gabungan Parti Sarawak #Mahathir Mohamad #Mohd Shafie Apdal #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #rakyat Malaysia #TPM
;