Sarawak sudah mohon peruntukan CanSino daripada Kerajaan Pusat

Nuzuluddin Abdul Razak
Jun 15, 2021 19:32 MYT
Uggah berkata, vaksin jenis Cansino itu sesuai digunakan terutama di Pedalaman Sarawak memandangkan hanya satu dos pelalian diperlukan.
KUCHING: Sarawak telah menghantar permohonan kepada Kerajaan Pusat peruntukan menerima vaksin CanSino untuk kegunaan negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menyifatkan vaksin jenis Cansino itu sesuai digunakan terutama di Pedalaman Sarawak memandangkan hanya satu dos pelalian diperlukan.
“Kita berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana membuat satu keputusan yang bijak dan pantas. Masyarakat Pedalaman Sarawak tinggal secara berselerak khususnya yang mana pengangkutan bukan sahaja satu masalah malah memakan kos tinggi.
"Oleh itu, apabila kita pakai CanSino, kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan dan tempoh perjalanan terutama di luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA: Penggunaan CanSino dan Johnson & Johnson bantu percepatkan imuniti kelompok
BACA: Vaksin CanSino, Johnson & Johnson diluluskan untuk pendaftaran bersyarat
Sementara itu Ahli JPBN Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa berkata keputusan PKBD itu sangat dinanti-natikan.
"Penggunaan kedua-dua vaksin tersebut CanSino dan Johnson & Johnson akan memberikan impak yang sangat besar kepada rakyat Sarawak khasnya di pedalaman yang mana kadar kebolehcapaian penduduk adalah sangat mencabar,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan dua jenis vaksin COVID-19 yang hanya memerlukan satu suntikan dos, masing-masing buatan CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) diberi kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan.
Vaksin COVID-19 yang dibangunkan CanSino Biologics, sebuah syarikat dari China dan vaksin Janssen oleh J&J dari Amerika Syarikat turut diberi kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
#CanSino #Johnson & Johnson #vaksin COVID-19 #Douglas Uggah Embas #Pengerusi JPBN Sarawak #Sarawak #program vaksinasi
;