Sarawak: Sistem Transit Aliran Autonomi mula beroperasi 2025
Astro Awani
September 2, 2020 15:39 MYT
September 2, 2020 15:39 MYT
Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching dijangka akan mula beroperasi secara komersial menjelang 2025.
Projek yang dibangunkan Sarawak Metro yang merupakan syarikat milik kerajaan negeri itu kini dalam fasa perincian pelaksanaan sistem tersebut.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan dan pembiayaan projek ini akan dilakukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) (2021-2025).
Katanya, disebabkan pelaksanaan projek berkenaan dilakukan pada RMK-12, kosnya dijangka lebih rendah kerana penggunakan teknologi terkini.
"Kos pelaksanaan projek ART akan menjadi lebih murah kerana teknologi yang digunakan lebih maju. Bagi Kuching kosnya kurang daripada RM6 bilion berbanding kos asal iaitu RM8 hingga RM10 bilion," katanya.
Selain itu, Sarawak Metro juga sedang meneliti jajaran laluan dicadangkan termasuk laluan lalu lintas dan stesen-stesen bagi sistem berkenaan.
“Ketika ini syarikat yang mengendalikan projek ini sedang dalam fasa melakukan perincian dan ART tidak menggunakan landasan, hanya menggunakan jalan raya.
“Jadi kita perlu melebarkan jalan raya bagi menyediakan laluan untuk ART ini,” kata Abang Johari.
Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Datuk Husain berkata laluan ART ini melibatkan Jalan Kuching ke Samarahan dan stesen utamanya akan dibina berdekatan Masjid Bandaraya Kuching.
Tambahnya, ujian percubaan ART bakal dilakukan selewat-lewatnya pada 2023 dan sebagai permulaan sistem ini akan menggunakan laluan yang dikenal pasti di sekitar bandar raya Kuching.
"Semasa tempoh pandu uji sistem ART ini, kita akan melihat pelaksanaan sistem secara menyeluruh. Laluan dicadangkan adalah dari Kuching ke Samarahan dan Kuching ke Batu 12 (Jalan Kuching-Serian),” kata Abdul Aziz.
#art
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Kuching
#RMK12
#Samarahan
#Sarawak
#SDEC
#Sistem Transit Aliran Autonomi