Sarawak setuju keluarkan dokumen sementara kepada individu tanpa kewarganegaraan

Nuzuluddin Abdul Razak
November 30, 2022 17:40 MYT
Individu tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di Sarawak akan menerima dokumen sementara warganegara.
KUCHING: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di negeri itu.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, dokumen tersebut khusus untuk memudahkan pemegang mendapatkan akses kepada pendidikan dan kesihatan di Sarawak, dan bukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.
"Ia bukan hak mahupun jaminan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya, dan permohonan untuk dokumen sementara ini dipohon terus di Kementerian atau melalui Pejabat Daerah yang terdekat.
“Bagi tujuan ini, pemohon perlu memiliki sijil lahir yang didaftarkan di Sarawak berstatus Warganegara Belum Ditentukan; dan telah memohon kewarganegaraan Malaysia di bawah Artikel 15A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Kementerian pada Persidangan DUN Sarawak di sini pada Rabu.
Jelas Fatimah, tempoh sah laku dokumen sementara itu adalah selama dua tahun dari tarikh diluluskan selain permohonan lanjutan boleh dilakukan sekiranya pemegang masih belum memperoleh kewarganegaraan.
Bagaimanapun katanya, dokumen sementara itu perlu dikembalikan kepada pihak kementerian sebaik sahaja pemegang memperolehi kewarganegaraan dan kad pengenalan.
“Program integrasi outreach akan dilaksanakan di beberapa lokasi di seluruh negeri bagi mengesan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan sekali gus membolehkan mereka mendapat akses pendidikan,” ujarnya lanjut.
Program integrasi outreach DSITKS yang dilaksanakan pada Disember depan itu akan diadakan di beberapa lokasi di seluruh negeri iaitu di CSSC Kuching, Jalan Abell; Sepupok, Niah; Hotel Seri Malaysia, Lawas; dan Destiny for Children Centre, Sibu.
#Dokumen Sementara #Fatimah Abdullah #DUN Sarawak #tanpa warganegara
;