Sarawak sediakan dana untuk beli vaksin sendiri - Uggah

Nuzuluddin Abdul Razak, Fadilah Sulaiman
Mac 12, 2021 11:32 MYT
Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana untuk membeli vaksin sendiri sekiranya perlu selain mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana untuk membeli vaksin sendiri sekiranya perlu selain mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dana tersebut disediakan bagi memastikan kapasiti 70 peratus penerima vaksin di negeri itu dapat dicapai.
"Kita ada menyatakan kepada Kuala Lumpur bahawa jika diberi peluang, JPBN Sarawak tidak kisah untuk membeli vaksin. Kerajaan Sarawak telah menyediakan dana jika berlakunya isu-isu yang tidak dapat dielakkan.
"Sekiranya, kita dapat memperoleh jumlah tertentu vaksin lebih awal, perancangan terperinci akan dilakukan untuk edaran ke seluruh negeri ini," katanya semasa sidang media harian COVID-19 pada Jumaat.
Sementara itu, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak memberitahu, proses vaksinasi di kawasan pedalaman yang sukar diakses akan dilakukan serentak.
Katanya, langkah itu bagi mengelak berlakunya kesulitan dan pembaziran tenaga.
"Kawasan pedalaman ini kita tidak ikut fasa. Kita merancang untuk melakukan serentak supaya kita tidak perlu datang ke kawasan itu beberapa kali yang hanya merumitkan proses.
"Sebagai contoh Bario, mungkin kita akan lakukan vaksinasi semua penduduk termasuk yang tersenarai pada kategori kedua atau ketiga. Kita sudah bincang dengan Kuala Lumpur dan mereka menerima cadangan itu," katanya.
#Sarawak beli vaksin #COVID-19 #vaksin #dana untuk vaksin #Sarawak #Douglas Uggah Embas